suria

Bakat AG (Hot FM) Semakin Dipandang Serius

AG bersyukur bakatnya sebagai pengacara mula dipandang serius.

PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM iaitu AG bersyukur bakatnya sebagai pengacara mula dipandang serius selepas diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos acara besar seperti Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2014 (ABPBH 2014).

AG atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Selamat, 35, berkata, kepercayaan diberikan bukan kerana dia sekadar pilihan kedua sebaliknya ia adalah usaha dia dari bawah untuk mencapai tahap tersebut.

"Setiap pengacara ada matlamat mereka dalam bidang ini dan begitu juga saya. Kepercayaan diberikan bukan datang bergolek sebaliknya menerusi usaha dari bawah.

"Saya bersyukur kerana mula dipandang sebagai hos dan kepercayaan itu saya terima dan perlu menggalasnya dengan baik," katanya kepada mStar Online.

DFKL 2015 bakal berlangsung pada malam Sabtu (malam ini) dan AG akan bergandingan dengan pelakon Yana Samsudin pada acara yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) itu.

AG dan Yana Samsudin.

Dalam pada itu, AG berkata, dia tidak melihat pemilihannya sebagai hos dua acara besar itu selepas ketiadaan beberapa nama besar lain untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Sebaliknya kata AG, bidang pengacaraan juga mempunyai kitaran dan dia sendiri sudah bersedia sekiranya tidak diperlukan lagi selepas ini.

"Hidup ini umpama roda. Pengacara datang dan pergi. Mungkin sekarang masa saya tetapi persediaan juga perlu dilakukan sekiranya tidak diperlukan lagi selepas ini.

"Itu adalah hakikat yang perlu semua termasuk saya hadapi," ujarnya.

Sementara itu, AG berkata, dia tidak berasa terlalu tertekan untuk mengendalikan dua acara besar dalam tempoh terdekat kerana padanya persediaan rapi dapat membantunya mengatasi perasaan itu.

"Insya-Allah dengan persediaan rapi dan latihan secukupnya semuanya akan berjalan dengan lancar.

"Sebagai seorang pengacara saya tidak boleh terlalu terbawa-bawa dengan perasaan gemuruh itu biarpun ia adalah perkara biasa," katanya.

AG, Hot FM.

Artikel Lain