Elfira Loy Fokus Bidang Pengacaraan Selepas Bertudung - Hiburan | mStar

Elfira Loy Fokus Bidang Pengacaraan Selepas Bertudung

Elfira Loy.

PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy mahu memberi lebih fokus kepada bidang pengacaraan selepas mengambil keputusan untuk bertudung pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke 21 baru-baru ini.

Elfira berkata, dia mengambil keputusan itu kerana menyedari watak untuk wanita bertudung sepertinya terhad selain bimbang akan menyusahkan pihak produksi.

"Minat saya terhadap pengacaraan memang sejak dari dahulu lagi dan kini saya ingin memberi fokus kepada bidang itu buat masa ini.

"Bukannya apa saya menyesuaikan diri terlebih dahulu dengan imej sekarang selain tidak mahu menyusahkan pihak produksi," katanya kepada mStar Online. 

Bagaimanapun kata Elfira, itu bukan bererti dia ingin meninggalkan terus dunia lakonan sebaliknya mahu berehat seketika selain memberikan tumpuan kepada pengajian di sebuah kolej.

"Lakonan adalah sesuatu yang sudah sebati dengan jiwa saya dan belum bercadang untuk tinggalkan terus cuma memperlahankan sahaja.

"Insya-Allah lepas tamat pengajian saya akan aktif semula," ujarnya yang mengacarakan program Mad Market dan Tua Pun Boleh untuk siaran Astro.

Sementara itu, Elfira berkata, perubahan yang dilakukannya diharap dapat menjadi satu permulaan yang baik dalam hidupnya selepas ini.

Katanya, dia bersyukur kerana diberi kekuatan untuk melakukan perubahan tersebut pada usia yang muda dan berharap ia akan memberi lebih banyak berkat kepadanya.

Elfira Loy.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Lebih Artikel

Suspek samun stesen MRT dikenal pasti

Hotel di Makkah hangus dijilat api