suria

Syamsul Yusof Dalami Islam Bikin Filem Munafik

Syamsul Yusof ambil langkah keselamatan untuk pastikan filem tidak bocor.
PETALING JAYA: Pengarah filem Syamsul Yusof memberitahu mengambil masa agak lama untuk mengumpul idea jalan cerita dan proses pembikinan skrip filem seram terbaharunya berjudul Munafik.

Syamsul, 31, berkata, ia berikutan filem kesembilan arahannnya itu banyak menyentuh soal keagamaan yang memerlukan dia lebih berwaspada agar tidak melanggar sensitiviti agama.

"Filem seram ini penuh dengan elemen keagamaan dan sudah tentu perkara itu tidak boleh diambil mudah. Oleh itu, saya ambil masa lebih dua bulan untuk mengaji ayat-ayat al-Quran yang digunakan dalam skrip filem ini.

"Saya juga ada merujuk beberapa ustaz untuk bertanya tentang hukum hakam agama dan kerap mengikuti kelas agama untuk menambahkan ilmu dan input untuk filem ini," katanya kepada mStar Online.

Syamsul ditemui pada majlis pelancaran filem Munafik yang diadakan di Restoran Haslam, di sini, malam Rabu.

Filem tersebut turut dibarisi pelakon seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Pekin Ibrahim, Datuk Rahim Razali, A Galak dan Sabrina Ali.

Tambah Syamsul, perkara tersebut sedikit sebanyak membantu dirinya mendalami tentang agama Islam dan berubah kearah yang lebih baik.

Dala pada itu, Syamsul turut mengakui masih risau dengan kejadian malang yang berlaku terhadap filem KL Gangster 2 yang bocor sebelum ditayangkan.

Katanya, dia akan lebih berhati-hati dan mengambil beberapa langkah keselamatan agar perkara tersebut tidak berlaku lagi.

"Saya risau perkara itu berlaku lagi, jadi sudah tantu pihak kami sudah ada langkah keselamatan tertentu iaitu meletakkan label watermark sebelum di hantar ke beberapa organisasi bagi melalui proses pasca-penerbitan nanti.

"Saya juga tidak akan simpan filem ini lama-lama seperti KL Gangster dan Insya-Allah akhir tahun ini atau awal tahun depan boleh ditayangkan di pawagam," katanya.

Filem Munafik mengisahkan tentang seorang pengamal perubatan Islam bernama Adam lakonan Syamsul tidak dapat menerima takdir apabila isterinya meninggal dunia.

Adam melalui pelbagai pengalaman pelik apabila dipujuk untuk mengubati seorang wanita bernama Maria lakonan Nabila Huda yang diganggu syaitan.

Filem terbitan Skop Production Sdan Bhd ini menelan kos pembikinan sebanyak RM1.6 juta.
Syamsul Yusof, Munafik

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain