suria

Aznil Nawawi Ikon 'Saya Cinta Malaysia' LHDN

Aznil dilantik sebagai ikon 'Saya Cinta Malaysia' iaitu kempen yang dibangunkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

PUTRAJAYA: Pengacara Datuk Aznil Nawawi pada Isnin dilantik sebagai ikon 'Saya Cinta Malaysia' dalam kempen terbaharu Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) bagi menyebarkan kesedaran tentang pembayaran cukai.

Aznil, 53, berkata, kempen tersebut akan menggunakan cara mudah difahami iaitu melalui konsep perkongsian dan kasih sayang dalam memberikan pemahaman kepentingan cukai dalam pembangunan negara.

"Peranan saya adalah untuk menyemarakkan rasa cinta terhadap negara dan pada masa sama menyedarkan masyarakat tentang kewajipan membayar cukai.

"Tetapi kaedah yang digunakan bukan secara terus tetapi memilih cinta terhadap negara sebagai tema utama bagi memastikan masyarakat dapat benar-benar memahami konsep sebenar cukai itu," katanya kepada mStar Online.

Aznil berkata demikian pada majlis Sambutan Hari Hasil 19 yang diadakan di Dewan Bangsawan, Menara Hasil di sini.

Turut hadir pada acara berkenaan adalah Timbalan Menteri kewangan 1, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Pegawai Ekskutif LHDN, Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar.

Dalam pada itu, Aznil berkata, beliau akan melakukan siri jelajah bersama LHDN terutamanya diperingkat sekolah dan universiti bagi memberikan pendedahan sebenar kepada generasi baharu tentang cukai dalam cara paling ringkas dan mudah difahami.

Aznil bersama Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Ahmad Maslan (kanan) dan Ketua Pegawai Ekskutif LHDN, Tan Sri Dr. Mohd Shukor Mahfar.

"Selama setahun kontrak sebagai ikon saya akan bergiat melakukan siri jelajah untuk mendekati masyarakat terutamanya golongan muda dan cuba untuk menyemai rasa cinta mereka terhadap negara dan secara tidak langsung memberikan maklumat mengenai cukai," ujarnya.

Sementara itu, Aznil berkata, beliau turut menyasarkan untuk menghebahkan maklumat mengenai cukai kepada golongan artis memandangkan ada segelintir daripada mereka enggan atau takut untk melunaskan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.

Kata Aznil, beliau berharap dapat menganjurkan sebuah perjumpaan dengan pihak LHDN pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada golongan selebriti dalam mendapatkan penerangan tentang perkara itu.

"Golongan artis tidak seharusnya takut untuk membayar cukai kerana ia sebenarnya adalah sebahagian daripada cara untuk kita menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada negara.

"Saya mahu menjadi 'jambatan' di antara golongan selebriti dan LHDN dalam memastikan mereka mendapat maklumat yang betul selain khidmat nasihat berhubung pembayaran cukai mereka," katanya.

Artikel Lain