suria

Artis Terkenal Penceramah Bengkel DFKL 2015

Barisan artis yang bakal terlibat dalam bengkel Drama Festival Kuala Lumpur 2015.
PETALING JAYA: Beberapa nama besar dalam industri lakonan dan perfileman bakal bertindak sebagai penceramah dalam bengkel yang bakal diadakan bersempena dengan Drama Festival Kuala Lumpur 2015 (DFKL 2015).

Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin berkata, program selama dua hari itu dilihat sebagai satu platform tepat untuk memartabatkan industri drama tanah air dengan menghubungkan para karyawan termasuklah pengarah, juru animasi, pelawak dan pelakon untuk saling berkongsi idea.

"Selain itu penganjuran DFKL 2015 turut dapat memanfaatkan kepakaran yang mereka miliki agar dapat dikongsi bersama dan melahirkan generasi baru yang berbakat serta lebih kreatif," katanya.

Bengkel berkenaan bakal menampilkan nama-nama besar seperti Datuk Yusof Haslam, Sheila Rusly, Remy Ishak, Adi Putra, Syed Nurfaiz Khalid (Les' Copaque), Usamah Zaid (Wau Studio), Nizam (Animonsta) dan Tariq (Glue Studios).

Ia bakal diadakan selama dua hari iaitu pada 14 dan 15 Februari di Balai Berita NSTP, Bangsar dekat sini.

Zul Ariffin dan Nur Fathia dilantik sebagai duta DFKL 2015.

DFKL 2015 bakal berlangsung pada 20 Mac depan.

Tambah Sherina, DFKL 2015 melantik pelakon Zul Ariffin dan Nur Fathia sebagai duta utama acara itu manakala Nora Danish sebagai duta media sosial.

Dalam pada itu, Sherina berkata, sebanyak lapan kategori akan dipertandingkan pada DFKL 2015 iaitu Drama Pilihan, Pelakon Lelaki Pilihan, Pelakon Wanita Pilihan, Pengarah Drama Pilihan, Penulis Skrip Drama Pilihan, Barisan Pelakon Drama Pilihan, Hero dan Heroin Pilihan dan Drama Pendek Pilihan.

Jelasnya, drama yang dipilih adalah menerusi karya yang mencatatkan penonton tertinggi di setiap slot drama di TV3 dan TV9.

"Tahun kedua DFKL 2015 kembali selepas menerima 2.2 juta penonton pada tahun lalu dan perkembangan ini akan merancakkan lagi penganjuran tahun kedua menerusi lapan kategori disediakan," katanya.

10 buah drama yang bakal bertanding adalah Cerita Cinta Kita, Menjinak Ombak, Selamat Pengantin Madu, Rindu Awak 200%, Jiwa, Kristal Maya, Setitis Kasih Darmia, Cinta Pandang Kedua, Menantu 10 Ribu dan Bedah vs Joyah.
DFKL 2015, Zul Ariffin, Nur Fathia.

Artikel Berikut

Artikel Lain