suria

267,000 Tonton Video 'Romancinta' Nyanyian Caliph Buskers Di YouTube

PETALING JAYA: Populariti kumpulan muzik jalanan Orang Kelainan Upaya (OKU) Caliph Buskers terus melonjak apabila rakaman video nyanyian mereka yang dimuat naik di laman YouTube mencecah lebih 267,000 tontonan sehingga Rabu.

Video yang dimuat naik di akaun rasmi mereka itu menyaksikan Caliph Buskers membuat persembahan di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat sini dengan mempersembahkan lagu Romancinta, dipopularkan oleh Mojo.

Rakaman video yang dimuat naik pada 1 Ogos 2014 itu mencapai jumlah tontonan paling tinggi berbanding video-video lain yang dimuat naik oleh kumpulan berkenaan di laman sosial itu.

Peningkatan mendadak jumlah tontonan itu selepas mereka berjaya memenangi Persembahan Terbaik ketika menyampaikan lagu Romancinta pada Anugerah Juara Lagu ke 29 (AJL 29) pada Ahad lalu.

Persembahan bertenaga vokalis Caliph Buskers iaitu Khairul Azmi Saat, 28, mengejutkan penonton kerana gimik yang dilakukan oleh Edry Abdul Halim sebagai ketua kumpulan Mojo dalam pertandingan berkenaan benar-benar menjadi.

Caliph Buskers yang mengalami cacat penglihatan ketika membuat persembahan pada malam Anugerah Juara Lagu ke 29 pada Ahad lalu.

Menerusi komen orang ramai pada video durasi 3:52 minit itu, kebanyakan mereka  memuji kehebatan vokal Khairul Azmi sehingga ada yang menontonnya lebih daripada sepuluh kali selepas melihat persembahan mereka pada AJL 29 lalu.

Dalam pada itu status-status orang ramai di laman Twitter dengan hastag #CaliphBuskers turut mendapat pujian termasuklah para artis.

Antara artis yang berkongsi status mereka ialah Lisa Surihani yang mengucapkan tahniah  atas kemenangan mereka.

Turut berkongsi status ialah Adibah Nor, Sharifah Aleya, Intan Ladyana, Zarul (Umbrella), Alif Satar dan Faizai Ismail.

Selepas kemunculan mereka di pentas berprestij berkenaan, Caliph Buskers turut mendapat peluang ditemubual di beberapa stesen radio tempatan antaranya Hot FM dan Era FM selain menjadi tetamu Malaysia Hari Ini (MHI) pada Selasa lalu.

Selain Azmi, kumpulan berkenaan dianggotai oleh Fendy Alun, 24, Mohd. Zaki Ismail, 36, Nirwan Zainal Abidin, 26, Nor Nadira Rubiana, 24, dan Syahzmeen Abdul Rahman, 24.

mStar Online pada Selasa lalu menyiarkan kenyataan kumpulan tersebut yang tetap akan meneruskan kerjaya mereka sebagai pemuzik jalanan walaupun telah meraih populariti luar biasa selepas kemunculan mereka di pentas akhir AJL 29 lalu.
Romancinta, Caliph Buskers

Artikel Lain