suria

Rosyam, WHAM Anjur Tayangan 'Isyarat Cinta' Bantu Mangsa Banjir

Tunggak utama filem 'Isyarat Cinta' arahan Bade Hj Azmi iaitu Fizo Omar (dari kiri), Liyana Jasmay dan Adi Putra. Tayangan amal perdana filem ini akan diadakan pada 4 Mac depan.

KUALA LUMPUR: Produser filem Isyarat Cinta iaitu Datuk Rosyam Nor menyeru peminat dunia filem tanah air agar menyertai tayangan amal perdana filem itu yang bakal diadakan pada 4 Mac depan.

Ia bertujuan  mengumpul dana bagi membantu penderitaan mangsa-mangsa banjir yang melanda beberapa negeri pada Disember lalu.

Rosyam berkata, tayangan perdana itu dilakukan dengan kerjasama Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang antara lain untuk mengumpul dana tabung persatuan berkenaan.

“Projek tayangan perdana ini adalah sesuatu yang murni kerana kutipan filem berkenaan akan digunakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir dan saya mengharapkan semua pihak dapat menyokong usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran teaser filem berkenaan di pejabat RK Screen, Damansara di sini pada Selasa.

Hadir sama Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin, jawatankuasa persatuan serta beberapa pelakon filem itu.

Dari kiri; Rosyam Nor, Tengku Khalidah, Fizo Omar, Bade Hj Azmi, Adi Putra dan Liyana Jasmay pada pelancaran teaser Isyarat Cinta di RK Screen, Damansara pada Selasa.

Isyarat Cinta merupakan projek terbaharu syarikat produksi Suhan Movies dan RK Screen Sdn Bhd. Skripnya ditulis dan diarahkan oleh Bade Hj Azmi.

Antara pelakon terlibat ialah Liyana Jasmay, Fizo Omar dan Adi Putra.

Dalam pada itu Tengku Khalidah berkata, selain mangsa-mangsa banjir, pihaknya mahu sebahagian jumlah kutipan berkenaan dapat  disalurkan kepada rumah tahfiz dan anak-anak yatim.

Katanya, projek ini dilakukan selepas WHAM melancarkan Tabung Hati Ke Hati bagi membantu mangsa banjir pada Disember lalu yang berjaya mengumpul kira-kira RM50,000.

“Kutipan yang dilakukan WHAM untuk tabung bantuan ini menampakkan kejayaan dan sumbangan berkenaan sebahagiannya sudah disalurkan kepada mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur.

“Kami berharap agar kutipan untuk tayangan amal perdana ini juga akan menambahkan lagi dana yang mana sebahagiannya hendak dilakukan bagi tujuan kebajikan.

“Saya  berharap semua pihak mengambil bahagian dalam usaha membantu golongan yang memerlukan dengan menyokong usaha ini,” ujarnya.

Isyarat Cinta menceritakan kisah cinta antara Iskandar (Adi Putra) iaitu orang kelainan upaya cacat pendengaran dan Dhia (Liyana Jasmay) yang buta.

Tiga pelakon ini menampilkan sebuah lakonan berbeza dalam Isyarat Cinta. 

Mereka bertemu ketika Iskandar cuba menyelamatkan Dhia dalam satu kemalangan jalan raya sehingga membibitkan rasa cinta masing-masing.

Hubungan mereka dijalinkan melalui orang tengah iaitu Ariel (Fizo Omar) apabila segala luahan Iskandar yang cacat pendengaran itu disampaikan kepada Ariel untuk Dhia.

Namun dalam masa yang sama Ariel pula mempunyai perasaan terhadap wanita itu.

Tayangan perdana filem ini akan dilakukan di panggung Cathay e-Curve, Damansara Petaling Jaya dekat sini bermula pukul 8.30 malam.

Tiket bagi menyaksikannya dijual pada harga dari RM100 sehingga RM1,000.

Orang perseorangan atau syarikat korporat yang berhasrat membantu kutipan dana bagi tujuan kebajikan ini bolehlah menghubungi talian 017-3813563 untuk keterangan lanjut.
Isyarat Cinta, Rosyam Nor, WHAM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain