suria

Suami Farah Asyikin Diarah Lantik Wakil Pendamai Kes Cerainya

Farah Asyikin dan suaminya Zaahier Stanley berkahwin pada 15 Februari 2013.
KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi Farah Asyikin, 35, iaitu Zaahier Stanley diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah, di sini, pada Rabu supaya melantik segera wakil Jawatankuasa Pendamai dalam kes perceraian mereka.

Hakim Syarie, Amamuddin Yunus menetapkan 9 Februari depan bagi pihak lelaki membawa wakil selepas Zaahier gagal berbuat demikian dalam prosiding pada Rabu.

"Saya ingatkan untuk kamu membawa wakil daripada kalangan ahli keluarga kamu pada prosiding akan datang jika mahu meneruskan kes perceraian ini. Kes ini sudah tertangguh dua kali kerana perkara ini," kata Amamuddin.

Sementara itu, pada prosiding tersebut Farah sebagai plantif hadir bersama peguam syarie yang mewakilinya iaitu Siti Maisyarah Hashim selain melantik ibunya, Fauziah Othman sebagai wakil pihaknya untuk menganggotai Jawatankuasa Pendamai.

Dalam pada itu Siti Maisyarah berkata, anak guamnya tiada sebarang bantahan dan hanya menunggu tarikh seterusnya yang akan ditetapkan oleh mahkamah berhubung arahan itu.

"Kita terpaksa menunggu pihak lelaki untuk melantik wakilnya. Jika dia gagal untuk membawa wakil kerana ahli keluarganya tiada di sini, mahkamah akan melantik hakam (orang tengah) untuk mewakilinya dalam Jawatankuasa Pendamai tersebut.

"Jadi pada 9 Februari nanti Farah tidak perlu datang kerana hanya pelantikan wakil bagi pihak lelaki sahaja," katanya ketika ditemubual di luar mahkamah.

Penyanyi ini menfailkan penceraian tersebut pada penghujung Oktober tahun lalu.

Farah dan Zaahier iaitu warganegara Afrika Selatan yang berketurunan Melayu Cape berkahwin pada 15 Februari 2013 selepas berkenalan selama setahun menerusi Twitter.

Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Ebrahim Owais yang baharu sahaja berusia lapan bulan.

Farah Asyikin

Artikel Lain