suria

Kereta Danny (X-Factor) Dilanggar Pemilik Kenderaan Curi

Danny terkejut apabila mendapati keretanya remuk akibat dilanggar oleh individu tidak dikenali.
PETALING JAYA: Apakah malang nasib pelakon Danny (X-Factor) apabila kereta Honda City milikknya yang diparkir di luar rumah dilanggar oleh individu tidak dikenali.

Lebih mencurigakan, selepas kejadian itu, individu berkenaan melarikan diri meninggalkan keretanya yang remuk pada bahagian hadapan itu.

Danny atau nama sebenarnya Mohd Kardanie Anwa, 35, berkata, dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Selasa itu, dia tidak menyangka bunyi dentuman kuat sebanyak dua kali yang datang dari luar rumah melibatkan keretanya.

"Ketika kejadian kira-kira dalam pukul 12.30 malam saya berada dalam bilik untuk tidur dan tiba-tiba terdengar bunyi hentaman kuat dari arah luar rumah.

"Saya pada mulanya ingatkan ia bunyi daripada lori sampah yang lalu namun selepas menjenguk ke luar tingkap saya lihat posisi kereta saya beralih dari tempat asal," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Selasa.

Keadaan kereta Danny yang mengalami kerosakan teruk.

Danny tinggal di Puncak Jalil, Bukit Jalil dekat sini.

Jelas Danny lagi, dia bagaimanapun keluar untuk melihat keadaan kereta tersebut selepas sejam kejadian kerana bimbang akan keselamatannya dan isteri sekiranya terdapat unsur-unsur jenayah.

"Apabila saya keluar untuk melihat keadaan kereta ia dalam keadaan agak teruk dan tertanya-tanya apa yang sedang berlaku?

"Saya turut mendapati sebuah kereta jenis Proton Satria yang diletakkan di bawah pokok bersebelahan rumah saya turut mengalami kerosakan teruk dan menyangka ia kereta milik jiran yang turut dilanggar," katanya.

Dalam pada itu, Danny berkata, semasa pihak polis datang ke rumahnya untuk melakukan siasatan seorang lelaki dalam lingkungan umur 25 tahun muncul mendakwa kereta Proton Satria tersebut miliknya yang sudah dicuri.

Pemilik kenderaan itu turut terkejut apabila mendapati kereta Proton Satrianya remuk akibat melanggar kereta Danny yang diletakkan di luar pagar rumah.

Proton Satria yang melanggar kereta Danny. 

"Lelaki tersebut tinggal berdekatan dengan rumah saya namun tidak pernah mengenalinya sebelum ini dan saya meminta agar dia membuat laporan  polis namun dia enggan.

"Bagaimanapun dia mahu menanggung kerugian yang saya alami akibat kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Danny berkata, dia menyerahkan kepada pihak polis bagi menyiasat kejadian itu kerana bimbang mungkin terdapat unsur-unsur khianat yang tidak diketahuinya.
Danny X-Factor.

Artikel Lain