suria

Pembedahan Jantung Ayah Punca Anuar Zain Bantu IJN

Anuar Zain tersentuh melihat penderitaan kanak-kanak penyakit jantung di IJN.

KUALA LUMPUR: Penyanyi Anuar Zain mendedahkan pengalaman yang dilalui ketika pembedahan jantung yang dilakukan oleh bapanya Zain Abdullah, 76, di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira 10 tahun lalu menjadi salah satu punca dia setuju untuk membantu kutipan dana majlis makan malam di The Majestic Hotel, di sini, pada 5 Disember depan.

Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 44, berkata, sukar untuk menggambarkan perasaannya ketika berada dalam situasi getir itu dan apa yang dirasai oleh ahli keluarga pesakit jantung yang sentiasa berhadapan dengan sebarang kemungkinan adalah antara hidup dan mati.

"Saya rasa dekat dengan IJN kerana bapa saya pernah melakukan pembedahan di sini 10 tahun lalu, ketika itu perasaan susah hati dan memang sukar untuk digambarkan apabila kita sentiada reda apa juga kemungkinan yang akan terjadi selepas pembedahan itu.

"Alhamdulillah, bapa saya selamat melakukan pembedahan tersebut dan sehingga kini dia masih mendapatkan rawatan susulan di IJN, saya juga selalu datang sini untuk menghantar bapa saya mendapatkan rawatan susulan." ujarnya kepada mStar Online, pada Selasa.


Anuar sempat melawat kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di IJN.

Anuar berkata demikian pada sidang media majlis makan malam amal bersama Anuar Zain yang diadakan di Auditorium, Institut Jantung Negara, di sini, Selasa.

Majlis makan malam tersebut bertujuan mengutip dana bagi mewujudkan sebuah kumpulan sokongan Pusat Jantung Kanak-Kanak Kongenital IJN.

Pada majlis tersebut, Anuar berkesempatan membuat lawatan dan menziarahi kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu.

Sementara itu, Anuar berharap majlis amal berkenaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka.

"Saya harap dengan majlis makan malam ini sedikit sebanyak ada pihak yang akan tampil beri sumbangan dan membantu IJN dalam mengutip dana yang mereka perlukan.

"Saya juga berharap agar rakan-rakan artis lain yang mempunyai waktu terluang agar datang ke IJN untuk melawat pesakit-pesakit ini. Sekurang-kurangnya kita dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka," ujarnya.

Dia juga akan menyanyikan lebih 12 buah lagu sepanjang sejam persembahan  berlangsung pada majlis itu.

Sementara itu, Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Marshisham Che Mood berkata, pemilihan Anuar Zain adalah berikutan artis itu merupakan ikon kasih sayang.

Katanya, penyanyi itu bukan sahaja disayangi oleh golongan kanak-kanak, malah semula lapisan masyarakat.

"Kita nampak Anuar Zain seorang yang penyayang dan dia adalah ikon kasih sayang, semua golongan masyarakat suka dengan karekter dia.

"Kutipan ini adalah untuk dana kumpulan sokongan yang mana untuk membantu dan memberi sokongan kepada pesakit dan keluarga sepanjang proses perawatan yang dilakukan mereka," ujarnya.

Turut hadir pada majlis sidang media tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Intitut Jantung Negara, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub dan Ketua Jabatan, Pusat Jantung Kanak-Kanak dan Kongenital, Dr Hasri Samion.

Tiket untuk majlis makan malam ini boleh dibeli melalui TicketCharge di talian 03 92228811 atau melayari www.ticketcharge.com.my

Manakala pembalian meja korporat boleh dibuat terus melalui talian 03 26178430/8317/8465 (Aziee Jais).
Anuar Zain, IJN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain