suria

Nik Michael Cuti Memasak

PETALING JAYA: Cef selebriti Nik Michael memberitahu dia tidak akan sesekali menjejakkan kakinya ke dapur untuk memasak hidangan istimewa buat keluarganya bersempena kedatangan Hari Raya Aidilfitri ini.

Nik atau nama sebenarnya Nik Michael Imran, 24, berkata, dia sengaja berbuat demikian kerana mahu merasai masakan daripada keluarga terutama ibu saudaranya yang mahir dalam masakan Melayu.

"Tiada yang istimewa daripada saya sempena raya kali ini kerana saya 'bercuti' daripada memasak di dapur.

"Biarlah tugas memasak itu dilakukan oleh kaum ibu dan saya hanya menikmatinya sahaja... hahaha," katanya kepada mStar Online.

Tambah Nik, selain memasak dia mahu menghabiskan cuti raya bersama-sama keluarga selain menziarahi kaum keluarga dan rakan-rakan.

Dalam pada itu, Nik berkata, dia juga turut mengambil kesempatan untuk bercuti bersama beberapa rakan baiknya ke sebuah pulau peranginan pada Hari Raya tahun ini.

Jelas Nik, pada waktu ini sahaja dia mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian kerana selepas ini dia akan sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk menguruskan restorannya, Picknik di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

"Saya suka bercuti apabila ada kesempatan tapi peluang itu jarang saya dapat kerana sibuk dengan kerja. Jadi tahun ini saya bercadang untuk ke sebuah pulau bersama rakan-rakan untuk merehatkan badan dan minda," katanya.
Nik Michael.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain