suria

Ismail Bob Hasim Berehat Buat Filem, Tumpu Bisnes Jual Baju

Ismail Bob Hasim

PETALING JAYA: Pengarah filem Ismail Bob Hasim membuat keputusan berehat daripada menghasilkan filem untuk sementara waktu kerana tidak yakin dengan potensi dunia perfileman ketika ini.

Bob berkata, dia nekad membuat keputusan itu selepas melihat pasaran industri perfileman tempatan yang semakin merudum selain ingin mencari idea baharu dalam karya yang dihasilkan.

"Sudah 16 filem saya hasilkan dan tiba masanya untuk saya merehatkan fikiran untuk mencari idea baru. Lagipun pasaran filem kita sangat teruk.

"Buatlah filem sebagus mana sekalipun, kutipan yang diperoleh tidak tinggi seperti dahulu," katanya kepada mStar Online.

Tambah Bob, sebelum berehat, karyanya yang terakhir iaitu Adnan Sempit Sawadikap bakal ditayangkan pada 7 Ogos depan.

Dalam pada itu, dia juga akan memberi fokus sepenuhnya terhadap syarikat produksi miliknya bersama Angah (Raja Lawak) iaitu Shapeway Entertainment menerbitkan drama-drama dan telefilem.

Majlis pelancaran ROB yang berlangsung di Saloma Bistro pada Isnin lalu. Foto MOHD SYAFIQ IKHWAN


Sementara itu, Bob dan Angah juga menjadi rakan kongsi membuka perniagaan pakaian di bawah jenama Republic Of Big (ROB) dan idea itu tercetus selepas melihat tidak banyak jenama di negara ini yang menyediakan pakaian untuk mereka yang bersaiz besar.

"Selalunya orang bersaiz besar macam kami susah nak cari baju. Kalau ada pun, kami akan habiskan beratus-ratus ringgit kerana tahu, selepas itu sukar untuk kita cari kedai yang menjual baju saiz besar.

"Dulu saya dan Angah pernah ke Bandung, Indonesia dan Vietnam, kononnya ikut cakap orang baju-baju di sana murah, tetapi apabila sampai di dua negara itu, langsung tiada baju-baju saiz kami.

"Teringin juga nak melaram mengikut fesyen-fesyen terkini, takkan asyik nak cari baju di kedai bundle sahaja. Sebab itu kami mencari penyelesaian dengan menubuhkan ROB," ujarnya.

Tambah Bob, bagi mengikut peredaran fesyen ROB turut mempunyai dua orang pereka khas iaitu Ili Nabila Haris serta Zulhusmi Suahimi dan sebagai permulaan sebanyak sebanyak 45 rekaan eksklusif diperkenalkan.

Pakaian jenama ROB boleh didapati bermula dengan saiz S hingga XXXXXXL dengan harga serendah RM49.90 sehingga RM159.90 dan ia boleh dibeli secara online menerusi  www.rob.com.my.

Istimewanya, ROB menyediakan carta ukuran dalam online dan pelanggan hanya perlu rujuk pada carta yang disediakan untuk mengetahui saiz mereka.

Buat masa ini kedai ROB terletak di Johor Baharu dan ia akan dikembangkan secara berperingkat.
Ismail Bob Hasim, ROB

Artikel Sebelum

Artikel Lain