suria

Gafim Dakwa Dipinggirkan Finas Anjur Festival Filem

Jurey Latiff (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Gafim kepada bintang veteran Karim Latiff dalam satu majlis di Finas, Hulu Klang pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) tidak diberi tanggungjawab dalam penganjuran Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) yang bakal diadakan pada September ini.

Pengerusi Gafim, Jurey Latiff Rosli berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan bertindak sebagai penganjur manakala pihaknya hanya dijemput bekerjasama menjayakan acara tersebut.

"Kami bukan menarik diri tetapi Finas yang mahu menganjurkan sendiri acara itu manakala Gafim dan Persatuan Penerbit Filem (PFM) hanya dijemput untuk bekerjasama menjayakannya sahaja.

Hamid Gurkha (kanan) terharu menerima sumbangan daripada Gafim.

"Saya sendiri belum tahu apa peranan kami dan hanya akan mengetahui mengenainya dalam satu mesyuarat induk yang akan diadakan pada Rabu (hari ini)," katanya kepada mStar Online.

Jurey ditemui pada majlis berbuka puasa dan sumbangan bsempena Hari Raya Aidilfitri anjuran persatuan itu di Dataran Karyawan Finas dekat sini, malam Selasa.

Dalam pada itu, Jurey berkata, pihaknya tiada halangan dengan keputusan Finas itu  kerana keputusan muktamad telah dibuat.

Jelas Jurey lagi, pihaknya juga masih belum membuat keputusan sama ada ingin bekerjasama dengan Finas ataupun tidak.

"Tidak bererti diminta bekerjasama kami akan bersetuju kerana kami masih belum tahu apa peranan dalam acara itu nanti.

"Hanya selepas mendengar taklimat itu baru kami boleh membuat keputusan," jelasnya.

Untuk rekod, Gafim yang ditubuhkan pada 19 September 1985 berperanan untuk menganjurkan FFM seperti yang dilakukan sebelum ini.

Sepanjang tempoh itu, hanya sebanyak tujuh kali Gafim menganjurkan festival peringkat nasional itu dan selebihnya dengan campur tangan Finas.

Sementara itu, Jurey berkata, biarpun terkilan dengan tindakan Finas membelakangkan Gafim namun pihaknya enggan memperbesarkan hal tersebut seperti mana berlaku sebelum ini.

"Menerusi penganjuran FFM ia sebenarnya membuka peluang pekerjaan kepada 10 persatuan yang bernaung dibawah Gafim dengan pelbagai program yang akan diadakan bersempena festival itu dalam memastikan objektif penganjurannya tercapai.

"Apabila pihak kerajaan tidak beri kami anjurkan FFM, semua persatuan tidak ada kerja untuk dilakukan dalam menjana pendapatan.

"Maka budaya 'meminta-minta' pada kerajaan akan berterusan dan orang tidak nampak kenapa pentingnya Gafim menganjurkan festival ini," katanya.

Tambah Jurey lagi, ia akan terus menjadi persoalan jika peranan dan hak Gafim terus dinafikan.

"Ini bukan kali pertama peranan Gafim diabaikan namun kami tidak mahu memperbesarkan isu ini dan soalan mengapa kami tidak lagi diberi kepercayaan untuk menganjurkan FFM itu kena tanya dengan Finas," ujarnya.

mStar Default Image
Sebahagian daripada artis-artis veteran bergambar bersama Jawatankuasa Gafim pada majlis sumbangan Hari Raya di Finas pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Jurey berkata, pihaknya memberikan sumbangan kepada 18 orang artis dan pekerja filem bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Antara penerima sumbangan tersebut adalah Mariani Ismail, Hamid Gurkha, Mimi Loma, Kamal Pendek, Latiff Borgiba, Karim Latiff, Tamam Idris dan Enot.

"Ini adalah kali pertama dan inisiatif Gafim menganjurkan acara seperti ini bagi memberikan sumbangan kepada artis memerlukan dalam meringkan beban mereka bersempena musim perayaan ini.

"Pemilihan penerima dibuat berdasarkan faktor usia, masalah kesihatan dan keuzuran artis dan Alhamdulillah semua hadir bagi menerima sumbangan ini,” katanya.

Tambah Jurey lagi, pelbagai persatuan, syarikat penerbit filem dan ahli perniagaan turut tampil dalam menyumbang bagi menjayakan acara tersebut.

Artikel Lain