suria

Jenazah Sharifah Aini Selamat Dikebumikan

Anak tunggal Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Aliff (baju merah) menyiram air bunga ke pusara ibunya.
Dikemaskini

PETALING JAYA: Jenazah biduanita negara, Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar  selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini kira-kira pukul 12.10 tengah hari Sabtu.

Allahyarham sebelum itu dimandikan dan disembahyangkan sebanyak tiga kali di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kira-kira pukul 10 pagi.

Sejak pukul 7 pagi, rakan- rakan artis sudah pun menunggu di masjid untuk memberi penghormatan terakhir.

Antara yang kelihatan, Uji Rashid, Hail Amir, Zaiton Sameon, Ellie Suriati, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Siti Nurhaliza, Aznah Hamid, Habsah Hassan, Datuk Chef Wan, Fazli Zainal, Salwa Abdul Rahman, Mak Jah, Rohana Jalil, Datuk Hattan, Datuk DJ Dave dan ramai lagi.

Jenazah sedang dibacakan surah Yasin oleh rakan-rakan artis yang hadi di Masjid At-Taqwa TTDI. 

Allahyarham telah meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini akibat fibrosis paru-paru atau 'paru-paru berparut' selain terkena virus Influenza A H1N1.

Berita kematian penyanyi lagu Seri Dewi Malam itu disahkan oleh rakan baik Allahyarham iaitu Aishah Ali.


Sementara itu, anak tunggal Allahyarham iaitu Aliff Omar Ali, 32, memberitahu rasa syukur kerana segala urusan pengebumian ibunya telah diselesaikan dengan lancar.

"Alhamdulillah, semua dah selesai. Terima kasih kepada semua kerana mengambil berat tentang arwah ibu.

"Halalkan makan minum ibu dan doakan kami sekeluarga. Arwah ibu ada sampaikan amanat kepada saya tetapi itu adalah peribadi yang saya tidak boleh kongsikan kepada umum," katanya yang baharu pulang dari Madinah pada dua minggu lalu.

Sharifah Aini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan itu pada Selasa lalu selepas mengalami kesukaran bernafas namun keadaan penyanyi itu dilaporkan stabil.

Kira-kira 400 orang yang hadir pada pengebumian Allahyarham Sharifah Aini di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Biduanita itu dikesan menghidap fibrosis paru-paru dua tahun lalu.

Terdahulu, Allahyarham menerusi status Facebook miliknya sebelum ini pernah meminta peminat-peminatnya mendoakan kesejahteraan beliau selain meminta mereka menghadiahkan Al-Fatihah sekiranya beliau meninggal dunia.

Tulisan di FB itu menggambarkan seolah-olah beliau sudah merasakan bakal pergi buat selama-lamanya.

Allahyarham sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang penganjur konsert, Ali Bakar pada tahun 1981. Bagaimanapun perkahwinannya hanya bertahan selama setahun selepas melahirkan anaknya, Aliff.

Kemudian, Allahyarham telah mengahwini dengan seorang ahli korporat, namun perkahwinan kali kedua yang dibina juga gagal bertahan dan beliau telah bercerai pada tahun 1992.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain