suria

Produser Drama Terpaksa Pinjam Ah Long Kerana Syarat ‘Patuh Syariah’

Dari kiri A. Aida, Jurey Latiff dan Yusof Kelana memperkatakan mengenai syarat pinjaman yang menekan penerbit-penerbit drama.

KUALA LUMPUR: Syarat ‘patuh syariah’ yang ditetapkan oleh agensi dan syarikat kewangan telah membunuh sebahagaian besar penerbit-penerbit drama di negara ini sehingga ada diantara mereka terpaksa meminjam Ah Long.

Presiden, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia  (PTVM) Jurey Latiff Rosli berkata,  pihaknya kesal dengan syarat itu kerana peraturan berkenaan tidak selari dengan kehendak stesen-stesen televsiyen selaku pembekal program.

“Kami kecewa apabila syarikat kewangan dan agensi peminjam wang  meletakkan  syarat baharu iaitu syarat ‘patuh syariah’ sebelum meluluskan permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi menyuarakan kekesalan  itu di pejabat PTVM di Taman Sri Rampai, Setapak di sini pada Selasa.

Hadir sama Naib Presiden PTVM, A. Aida, Setiausaha persatuan itu, Yusof Kelana dan juga beberapa ahli jawatankuasanya.

PTVM mempunyai kira-kira 100 orang ahli.

Dalam pada itu Jurey berkata, antara syarat patuh syariah ialah setiap drama yang bakal dihasilkan hendaklah mewajibkan para pelakon wanita memakai tudung, tidak boleh berpegangan tangan, tiada adegan di dalam disko serta beberapa peraturan lain yang tidak masuk akal.

mStar Default Image
Sebahagian daripada penerbit-penerbit drama.


Sedangkan katanya, konsep atau genre sesebuah drama ditentukan oleh stesen televsiyen termasuklah mereka juga yang memilih para pelakon sebelum ia diluluskan untuk siaran saluran masing-masing.

“Sesebuah drama itu harus mendapat kelulusan stesen tekevisyen sebelum pihak penerbit dapat melakukan penggambaran. Jadi, jika bank atau syarikat pinjaman wang seperti Mara mengenakan syarat yang tidak masuk akal, bagaiamana pula kami hendak menerbitkan drama?” soalnya.

Jelas Jurey, masalah berkenaan menyebabkan penerbit drama sudah putus harapan sehingga ada diantara mereka terpaksa meminjam daripada Ah Long bagi membolehkan  kerja-kerja penerbitan dilakukan.

Katanya, keluhan itu pernah dikemukakan kepada pihak Mara pada tahun lalu dalam satu taklimat yang diberikan malah agensi itu bersetuju untuk melonggarkan syarat berkenaan.

Namun katanya, syarat itu kembali berkuatkuasa apabila  Mara memanggil bakal peminjam untuk membentangkan sinopsis drama masing-masing dan sekiranya ia bercanggah dengan tuntutan Islam, permohonan mereka tidak akan diluluskan.

“Apa yang yang menyedihkan, panel syariah Mara pernah berkata perniagaan perfileman hukumnya haram,” katanya.

Wajah terbaharu A. Aida


Jelas Jurey, kadar pinjaman yang biasanya dipohon antara RM80,000 sehingga RM500,000 dan setakat ini pihak penerbit tiada masalah dalam membuat pembiayaan semula.

Tambahnya, setakat ini hanya syarikat Credit Guarantee Corporation (CGC) sahaja yang tidak memperketatkan syarat dan boleh bekerjasama dengan PTVM.

Sementara itu penerbit A. Aida Productions iaitu A. Aida berkata, syarat yang dikenakan oleh intstitusi kewangan dan juga Mara itu turut menyekat penerbit untuk bekerja dan menghasilkan lebih banyak drama.

Katanya, jika terlampau banyak babak atau adegan dilarang untuk dihasilkan, kualiti sesebuah drama itu akan hilang kerana setiap karya mestilah mempunyai pengajaran iaitu baik dan buruk yang harus ditonjolkan.

"Kalau pelakon nak pegang bahu antara lelaki dan perempuan pun tak boleh, macam mana nak tonjolkan pengajaran dalam drama? Adegan dalam disko pun kena sekat, susahlah untuk kita tonjolkan gambaran baik dan buruk untuk dijadikan pengajaran.

Peraturan ini benar-benar menyekat produser," katanya yang mahu satu penyelesaian dalam masalah berkenaan dicapai.

Jurey Latiff Rosli, PTVM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain