suria

Eina Azman Enggan Campur Isu Tampar

Eina tidak mahu terlibat dalam kontroversi berkaitan Afiq Muiz dan ibunya, Hasliza Mohd.
PETALING JAYA: Pelakon Eina Azman tidak mahu terlibat dengan sebarang kontroversi yang mengaitkan dua beranak iaitu bekas kekasihnya Afiq Muiz dan ibu pemuda itu, Hasliza Mohd.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, berkata, dia juga tidak berhasrat untuk memberi sebarang ulasan berhubung isu kononnya dua beranak itu berhasrat menampar mukanya.

"Sejujurnya saya tidak membaca laporan berkenaan tetapi mengetahui tentang perkara itu daripada orang lain dan saya tidak mahu mengulas mengenainya kerana saya enggan terlibat dalam sebarang kontroversi lagi," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Terdahulu, Hasliza menerusi laman Twitter miliknya menyifatkan laporan sebuah akhbar yang mendakwa dia dan Afiq mahu menampar muka Eina Azman jika berjumpa wanita itu sebagai satu fitnah.

Eina adalah pelakon yang sebelum ini dikatakan menjadi punca Afiq Muiz menderhaka kepada ibunya sehingga tidak pulang ke rumah.

Dalam pada itu, Eina berkata, biarpun terkejut dengan berita berkenaan namun dia tidak mampu untuk menolak kesahihan laporan yang dibuat akhbar itu.

Bagaimanapun katanya lagi, dia tidak mahu membebani fikirannya dengan persoalan tersebut kerana ia tidak memberi sebarang kebaikkan kepadanya.

Eina dan Afiq pernah digosipkan bercinta.

"Saya cuma terfikir sekiranya perkara itu tidak wujud, masakan orang boleh bercerita mengenainya tetapi saya malas hendak layan perkara remeh seperti itu kerana saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," jelasnya.

Sementara itu, Eina menafikan dia memusuhi Afiq sebaliknya menjelaskan kesibukan dengan kerjaya masing-masing menyebabkan hubungan mereka tidak rapat seperti dahulu.

Jelas Eina lagi, faktor dia kini mempunyai teman lelaki turut menjadi alasan mengapa dia tidak lagi bertemu dengan Afiq seperti bagi menghormati kekasihnya.

"Memang kami tiada apa-apa masalah tetapi saya kini sudah mempunyai teman lelaki dan sudah tentu jika saya masih akrab dengannya kekasih akan salah faham.

"Saya perlu menjaga perasaan teman lelaki dan sebab itu saya sudah lama tidak bertemu dengannya dan bukannya kerana kami bergaduh," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Eina berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Selamat Pengantin Madu untuk slot Zehra di TV3 disamping aktres Fasha Sandha.
Eina Azman, Afiq Muiz.

Artikel Lain