suria

Kumpulan 'Ooooo' Tersingkir Pada Separuh Akhir Pertama BMB 2

Kumpulan Ooooo, mendapat markah terendah dan tersingkir dalam persaingan separuh akhir pertama rancangan terbitan TV3 "Bintang Mencari Bintang". -fotoROHAIZAT MD DARUS/STAR
SHAH ALAM: Kumpulan Ooooo tersingkir pada separuh akhir pertama Bintang Mencari Bintang musim ke-2 (BMB2) yang bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini pada Ahad.

Penyingkiran itu diumumkan oleh pengacaranya Adibah Noor dan Achey.

Ooooo iaitu Zack dan Ridhuan, anak didik Afdlin Shauki yang mendapat kritikan pedas daripada juri tetap Fauziah Ahmad Daud (Ogy) meraih undian terendah iaitu sebanyak 34.8 markah.

"Kami berterima kasih kepada semua termasuklah Afdlin dan Ogy yang banyak mengajar kami dalam persembahan lawak.

"Penyingkiran ini bukanlah satu kegagalan, sebaliknya permulaan untuk mengejar cita-cita kami sebagai seorang penghibur," kata Ridhuan.

Kumpulan Sumbu, Kamal dan Arif mendapat markah tertinggi dalam separuh akhir pertama rancangan terbitan 'Bintang Mencari Bintang' yang berlangsung pada Ahad. -fotoROHAIZAT MD DARUS/STAR


Dalam pada itu, kumpulan Sumbu, yang merupakan anak didik Ebby Yus berjaya meraih markah tertinggi iaitu sebanyak 72.2 markah diikuti kumpulan Kepoh (Adlin Aman Ramlie) sebanyak 57.2 markah.

Manakala Tokan (Faizal Ismail), Mmmm (Afdlin) dan Lampu (Saiful Apek) masing-masing mendapat 47.3, 45.7 dan 43.7 markah.

Selain Ogy, AR Badul dan Jaclyn Victor turut menjadi juri pada malam itu.

Sementara itu, para peserta masih lagi akan menghadapi dua pusingan separuh akhir sebelum layak ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 22 Jun ini di Stadium Malawati Shah Alam.

BMB2 mempertandingkan 23 anak didik yang terdiri daripada 1 peserta solo dan 11 peserta kumpulan, Setiap Sifu akan mempunyai dua anak didik yang bertanding iaitu satu dari Kumpulan A dan satu lagi dari Kumpulan B.

Bagi saingan peringkat pertama, anak didik akan berentap mengikut kumpulan selama empat minggu dan anak didik yang mendapat markah terendah akan disingkirkan.

Kemudian bagi peringkat kedua, anak didik dari Kumpulan A dan B yang belum tersingkir akan bertemu untuk bersaing di peringkat separuh akhir.

Format permarkahan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus melalui undian khidmat pesanan ringkas (SMS) dan 20 peratus daripada juri awam yang terdiri dari kalangan pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi-profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian.

Juara BMB2 akan membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM200,000 berserta trofi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain