suria

"Ahh... Mereka Buat Kerja Merepek" - Aliff Aziz Tempelak Syarikat Produksi

Aliff akui sukar bangun awal pagi.

PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Alif Aziz sangat kecewa dengan tuduhan tidak berdisiplin selain dikatakan menjadi punca  penggambaran sebuah drama yang dibintanginya tidak dapat ditamatkan mengikut masa. 

Aliff atau nama sebenar Mohamad Aliff Aziz, 23, berkata, masalah itu timbul apabila produksi tersebut tidak mempunyai cara kerja yang sistematik sehingga menyusahkan banyak pihak terutamanya pelakon. 

"Saya kecewa bila mereka menuding jari dan meletakkan semua kesalahan atau kelewatan drama adalah disebabkan saya. Walhal apa yang berlaku adalah kerana cara kerja mereka yang banyak menyusahkan semua pelakon. 

"Mereka beri jadual yang tidak masuk akal dan sering kali bertukar. Pada awal penggambaran lain disuruh dan bila produksi terpaksa menambah jumlah hari penggambaran. Ahh... mereka buat kerja lagi merepek,” katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Isnin. 

Aliff berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Ahad lalu tentang dakwaan dia tidak berdisiplin dan memberi masalah kepada produksi ketika penggambaran sebuah drama.

Bagaimanapun, Aliff berkata, dia turut mengaku kesalahannya iaitu agak sukar untuk bangun pagi sehingga terlewat datang ke lokasi.

"Ya, saya mengaku beberapa kali datang lambat kerana terlajak tidur dan memang saya susah nak bangun pagi dan mereka ada menegur kesilapan saya itu.

"Saya terima teguran itu dan bersedia memperbaiki untuk datang awal pada keesokannya, tetapi mereka pula yang selalu lewat sehingga kadang-kala tiada babak langsung untuk saya.

"Apa salahnya buat jadual betul-betul dan jika tiada adegan saya tidak perlulah saya datang awal. Kadang-kadang saya terpaksa tidur di set seharian tanpa buat apa-apa kerja," katanya.

Tambah Aliff, sebagai pelakon baharu, dia sedar tidak setaraf dengan pelakon popular yang tidak perlu menunggu, namun dia kesal apabila ada pihak produksi yang menimbulkan isu ini.

Kejadian itu membuatkan dia serik untuk berlakon dengan syarikat  produksi tersebut.

Dalam pada itu, ditanya tentang peristiwa dikejarkan ke Hospital Selayang minggu lalu, Aliff berkata, dia hanya mengalami lemah badan, tidak sihat dan hanya mendapat rawatan luar.

"Saya tidak dapat pergi penggambaran itu hanya sekali sahaja kerana saya tidak sihat dan lemah anggota badan. 

"Itu pun bukan saya minta untuk tidak sihat, kalau boleh semua orang tidak mahu sakit," katanya.

 

Aliff Aziz

Artikel Lain