suria

Tidak Sekadar Menyanyi, Nubhan Jual Produk Kecantikan

Nubhan tolak tawaran berlakon bagi menumpukan perhatian terhadap kerjaya nyanyian dan perniagaannya.

PETALING JAYA: Penyanyi Nubhan memperluaskan lagu pekerjaannya apabila  menceburi bidang perniagaan dengan menjual produk makanan tambahan bernama Sole untuk kesihatan dan kecantikan.

Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Ahamad, 28, berkata, ia merupakan perniagaan keluarga yang dikembangkan sebagai salah satu pelaburan untuk sumber pendapatan bagi masa hadapan.

"Saya jalankan perniagaan ini lebih kurang setahun lalu, namun belum lagi buat pelancaran secara besar-besaran. Ia merupakan sejenis produk makanan tambahan untuk kesihatan dan kulit.

"Saya pilih bidang kecantikan ini kerana ia bermula daripada perniagaan keluarga dan saya kembangkan menjadi produk saya sendiri.

"Selain itu, saya anggap ia juga sebagai salah satu langkah saya sebagai sumber pendapatan pada masa hadapan," katanya kepada mStar Online

Tambah Nubhan, produk tersebut diambil dari  Switzerland dan diyakini halal dan selamat dipakai.

Jelasnya, buat masa ini, dia tidak mahu terlalu tergesa-gesa mempromosikan produk tersebut sebaliknya sedang mengatur strategi pemasaran terbaik untuk memperkenalkannya.

"Saya juga pakai produk tersebut secara konsisten dan hasilnya memang nampak  perubahan dan sekarang saya masih lagi mencari stokis dan pengedar.

"Bila semua berjalan lancar, Insya-Allah saya akan lancarkannya secara besar-besaran, apa yang penting strategi pemasaran perlu tepat," katanya.

Dalam pada itu, Nubhan yang baharu sahaja melancarkan single berjudul Kisah Kasih ini mengakui masih belum mempunyai kekasih.

Dia yang sering dikaitkan dengan penyanyi Siti Nordiana mengakui sedang mencari cinta.

"Saya belum ada kekasih, Siti Nordiana hanya kawan rapat sahaja, namun saya tidak kisah apa orang nak cakap tentang kami.

"Saya banyak berkongsi masalah dan pendapat dengan dia, saya anggap dia sebagai sahabat yang baik tidak lebih daripada itu," katanya.

Sementara itu, bercakap soal kerjaya lakonan, Nubhan berkata, dia menolak beberapa tawaran berlakon bagi menumpukan perhatian kepada kerjaya nyanyian dan perniagaan.

Dia juga memberitahu tidak mampu untuk memberi komitmen terhadap ketiga-tiga kerja dalam sesuatu masa.

Nubhan, Kisah Kasih

Artikel Lain