suria

'Kolumpo' Terhasil Daripada Perbincangan Tiga Sahabat

Bront memberitahu Kolumpo mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.
Bront memberitahu Kolumpo mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.
Bront memberitahu Kolumpo mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

PETALING JAYA: Filem Kolumpo yang diarahkan oleh tiga pengarah berbeza adalah cetusan idea daripada perbincangan tiga sahabat untuk mengangkat kisah mengenai sisi berbeza mengenai Kuala Lumpur.

Salah seorang pengarahnya, pelakon terkenal Bront Palarae memberitahu, mereka mengambil masa hampir dua tahun bagi menyiapkan karya berkenaan yang pada asalnya adalah sebuah filem pendek.

"Secara dasarnya setiap cerita dalam filem ini berdiri dengan sendiri berdasarkan idea daripada pengarahnya namun kami berbincang untuk memastikan jalinan setiap cerita mempunyai konsep dan tema sama iaitu mengenai Kuala Lumpur.

"Kami juga mengambil masa selama dua tahun untuk menyiapkan filem berkenaan kerana ingin memastikan semua elemen yang ingin disampaikan kepada penonton bertepatan dengan tujuan asal kami," katanya kepada mStar Online.

Selain Bront, dua lagi pengarah filem yang bakal ditayangkan di pawagam pada 5 Disember itu adalah Syed Munasar dan Rozi Izma.

Filem berkenaan dilakonkan oleh Sharifah Amani, Azad Jazmin, Ruminah Sidek, Nell Ng, Mano Maniam dan Amirul Ariff selain turut menampilkan beberapa nama besar sebagai pelakon undangan seperti Farid Kamil, Dira Abu Zahar, Nam Ron, Nadia Aqila dan Rosnah Mat Aris.

Dalam perkembangan sama, Syed memberitahu Kolumpo berbeza daripada karya-karya lain kerana mereka menampilkan sisi berbeza tentang ibu negara Malaysia itu dengan kisah-kisah yang jarang diberi tumpuan oleh masyarakat.

Jelas Syed, walaupun ada beberapa tema yang diterjemahkan bersifat biasa di kalangan masyarakat namun olahan yang berbeza memberi kelainan kepada filem ini.

"Banyak perkara menarik mengenai Kuala Lumpur yang mungkin kita pandang remeh tetapi ia mempunyai kisah menarik disebaliknya dan itu yang ingin kami tonjolkan menerusi karya tersebut," katanya.

Bront pula berkata, Kolumpo adalah sebuah filem untuk rakyat Malaysia kerana ia menggabungkan kesemua kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India selain mengekalkan dialog dalam bahasa ibunda masing-masing.

Pun begitu kata Bront, dia dan rakan-rakannya sentiasa memastikan mereka menjaga sensitiviti masyarakat semasa pembikinan filem berkenaan.

"Ada beberapa babak kita perlu tonjolkan situasi sebenar tentang masyarakat Malaysia tetapi sensitiviti masyarakat tetap dijaga supaya tidak mengguris hati mana-mana pihak," jelasnya.

Artikel Lain