suria

Sharnaaz Sudah Temui Pekin Selesaikan Tuduhan Jadi Perampas

Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz Ahmad
Sharnaaz Ahmad

PETALING JAYA: Pelakon Sharnaaz Ahmad telah bertemu dengan aktor Pekin Ibrahim pada malam Rabu (semalam) bagi meleraikan tuduhan kononnya dia menjadi penyebab hubungan Pekin dengan Uqasha Senrose putus.

Sharnaaz, 28, berkata, dalam pertemuan itu dia menjelaskan tuduhan mempunyai hubungan sulit dengan Uqasha adalah satu fitnah sementara hubungan mereka tidak lebih daripada seorang rakan sekerja.

“Saya berjumpa dengan Pekin untuk berbincang bagaimana hal ini boleh terjadi. Dan syukurlah Pekin faham penjelasan saya dan dia minta maaf kerana salah faham terbabit.

“Saya percaya, ada pihak yang menyampaikan cerita tidak betul kepada Pekin untuk melaga-lagakan kami,” jelas Sharnaaz ketika dihubungi mStar Online di sini pada Khamis.

Terdahulu akhbar pada Khamis melaporkan Pekin atau nama sebenarnya Mohd Iznan Ibrahim, 32, mendakwa tunangnya iaitu Uqasha Senrose, 21, sudah beberapa kali berlaku curang termasuklah menjalinkan hubungan sulit dengan Sharnaaz Ahmad.

Malah Pekin turut mendakwa mempunyai bukti terhadap tuduhan bekenaan.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, pula menerusi laporan yang sama menafikan dakwaan Pekin sebaliknya menuntut pelakon itu mengemukakan bukti sebelum membuat sebarang tuduhan selain mendakwa kekasihnya seorang yang panas baran.

Kedua-dua pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 6 Julai lalu.

Ikuti jawapan Sharnaaz berhubung isu itu.

Bagaimana reaksi Sharnaaz apabila dikatakan menjadi orang ketiga sehingga terputusnya hubungan Pekin dan Uqasha Senrose?

Pada mulanya saya agak terkejut kerana lepas satu kontroversi, satu lagi kontroversi melibatkan saya, namun pengalaman lalu membuatkan saya lebih bertenang dan berfikir jalan terbaik untuk menyelesaikannya.

Apakah tindakan Sharnaaz untuk menyelesaikan masalah ini?

Sejurus selepas mendapat tahu berita itu, saya terus mengatur pertemuan dengan Pekin (pada Rabu) dan saya menjelaskan perkara sebenar iaitu hubungan sulit yang didakwa berlaku antara saya dan Uqasha adalah tidak benar sama sekali. Saya beritahu dia bahawa ia hanya hubungan seperti rakan sekerja dan saya yakin ada orang lain yang menyampaikan berita yang bukan-bukan kepadanya. Sebagai lelaki saya faham situasi dia dan tidak menyalahkan dia.

Bagaimana reaksi Pekin semasa pertemuan tersebut?

Sebenarnya saya dan Pekin sudah berkawan baik sejak dua tiga tahun yang lalu, saya mengenali dia seorang yang bagaimana. Dia juga meminta maaf kerana salah faham ini.

Bagaimana pula dengan Uqasha selepas kontroversi ini?

Saya harap hubungan mereka kembali seperti dahulu dan saya tidak mahu masuk campur tentang keputusan pertunangan mereka. Saya harap Uqasha tenang menghadapinya dan orang ramai tidak menyalahkan dia dalam perkara ini.

Selepas kontroversi ini, adakah Sharnaaz takut atau lebih berhati-hati untuk berkawan dengan artis wanita?

Saya seorang yang mudah rapat dengan sesiapa tidak kira artis atau bukan, perempuan atau lelaki, bagi saya tidak perlu takut jika ianya tidak bersalah.

Bagaimana Sharnaaz berhadapan dengan kontroversi demi kontroversi yang melanda diri anda?

Saya hanya ingin mencari rezeki dalam industri dan saya tidak tahu mengapa banyak sangat kontroversi datang bertimpa-timpa, kes saya bertumbuk di tepi lebuh raya pun belum selesai lagi ini sudah ada kontroversi baru.

Setiap kali ada isu yang melibatkan saya, saya hanya bertenang dan berhadapan dengannya, asalkan ia tidak melibatkan keluarga saya tidak kisah.

Artikel Lain