suria

Kotak Akur Tidak Dikenali Peminat Malaysia

Kotak akan terus berusaha menghasilkan karya-karya terbaik bagi memperkenalkan muzik kumpulan itu dengan lebih meluas. - Foto ROHAIZAT DARUS
Kotak akan terus berusaha menghasilkan karya-karya terbaik bagi memperkenalkan muzik kumpulan itu dengan lebih meluas. - Foto ROHAIZAT DARUS
Kotak akan terus berusaha menghasilkan karya-karya terbaik bagi memperkenalkan muzik kumpulan itu dengan lebih meluas. - Foto ROHAIZAT DARUS

KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik dari Indonesia iaitu Kotak mengakui masih belum dikenali oleh pendengar di Malaysia walaupun sudah lima kali mengadakan lawatan untuk mempromosikan album mereka di negara ini.

Vokalis utamanya, Tantri berkata, atas sebab itu juga mereka terus berusaha menghasilkan karya-karya terbaik bagi memperkenalkan muzik kumpulan itu dengan lebih meluas.

"Saya perasan setiap kali kami membuat persembahan tidak ramai pendengar yang sama-sama turut menyanyikan lagu kami dan itu tidak mengecewakan kami.

"Ini kerana kami tidak pernah beranggapan Kotak popular di Malaysia dan usaha untuk memperkenalkan perjuangan muzik kami akan diteruskan sehingga diterima ramai," katanya pada majlis pelancaran album kompilasi mereka berjudul 'Terbaik' di Hard Rock Cafe di sini, Isnin.

Album itu memuatkan 17 buah lagu-lagu hit dari empat album terdahulu termasuk tiga buah lagu baharu.

Tiga lagu baru tersebut adalah Hijaukan Bumi, I Love You dan Kecuali Kamu.

Selain Tantri, Kotak turut dianggotai oleh Cella dan Chua.

Dalam pada itu, Chua memberitahu lagu duet bersama Judika iaitu Aku Yang Tersakiti banyak membantu memperkukuhkan lagi nama mereka di negara ini.

Jelas Chua, mereka bukan menumpang populariti penyanyi itu sebaliknya projek berkenaan berlaku secara kebetulan namun mereka merasakan ia amat bertuah kerana lagu itu diterima ramai di negara ini.

"Judika bukan sahaja popular di Indonesia tetapi juga di Malaysia dan versi duet itu memberi peluang untuk kami terus dikenali di Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, Cella berkata, pelancaran album kompilasi itu dapat memberi peluang kepada peminat mereka dan pendengar baru mengenali muzik mereka sejak kemunculan mereka pada tahun 2004.

Jelasnya, hampir kesemua lagu popular mereka seperti Pelan-Pelan Saja, Lupa Ingatan, Selalu Cinta dan Energi dimuatkan dalam album tersebut.

"Malah lagu duet kami bersama kumpulan Simple Plan berjudul Jetlag turut diselitkan untuk peminat," katanya.

Bersempena dengan pelancaran album tersebut di Indonesia, kumpulan Kotak telah melakukan konsert di lapan buah tempat dalam masa lapan hari.

Mereka juga berharap dapat mengadakan konsert di Malaysia pada masa hadapan.

Artikel Sebelum

Rihanna Kini Tampil Lebih Sopan

Artikel Berikut

Artikel Lain