suria

Tengku Ahmad Irfan Pukau 800 Penonton DFP

Konsert Tengku Irfan berjaya memukau penonton yang hadir.
Konsert Tengku Irfan berjaya memukau penonton yang hadir.
Konsert Tengku Irfan berjaya memukau penonton yang hadir.

KUALA LUMPUR: Pemain piano muda, Tengku Ahmad Irfan telah memukau seramai 800 penonton yang hadir pada konsert gala sempena sambutan ke 15 tahun Orkestra Filharmonik Malaysia(MPO) di Dewan Filharmonik Petronas(DFP) DFP Menara Berkembar Petronas di sini pada malam Sabtu.

Remaja berusia 15 tahun itu yang bergandingan dengan kumpulan orkestra berkenaan telah membuat persembahan yang cukup mengagumkan sepanjang 70 minit konsert berlangsung.

Dipimpin oleh pengarah muzik, Claus Peter Flor, Ahmad Irfan seperti telah meluahkan emosinya menerusi mainan piano dalam persembahan muzik yang diciptanya sendiri khusus untuk konsert berkenaan berjudul Sahibul Hikayat Fantasy Overture.

Karya selama 15 minit tersebut menyerlahkan elemen muzik tradisional Melayu bagi mencetuskan suasana fantasi dan misteri.

Selain itu, Ahmad Irfan bersama 105 barisan orkestra mengalunkan karya ciptaan Prokofiev berjudul Concerto for Piano No.2, di mana ia merupakan salah sebuah simfoni yang paling sukar dalam repertoire piano.

Kolaborasi bersama Ahmad Irfan dan MPO merupakan gandingan buat kali keempat sejak tahun 2009 ketika remaja itu berusia 11 tahun.

Turut hadir pada persembahan istimewa itu adalah Penaung MPO, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selain selebriti seperti Datuk Yusni Hamid dan Datin Paduka Julie Sudiro.

Sementara itu, MPO juga mempersembahkan karya-karya seperti We Are One (ciptaan Datuk Mokhzani Ismail) dan Rosenkavalier Waltzes (ciptaan Strauss).

Mengenai Ahmad Irfan, dia yang sedang menuntut dalam bidang khusus ‘piano and composition’, dan juga ‘conducting’ di Juilliard Pre-College, New York itu mula berjinak-jinak bermain piano seawal usia 7 tahun.

Dia juga pernah melakukan kolaborasi dengan konduktor hebat seperti Neeme Jarvi (di Estonia), Darius Mikulski dan Thailand Philharmonic Orchestra serta pemain piano Yoheved Kaplinsky di Aspen Music Festival pada tahun 2012.

Remaja itu juga pernah memenangi 'ASCAP Morton Gould Young Composers Award' dan 'Charlotte Bergen Award' pada tahun 2012 untuk karya ciptaannya String Quartet No.1.

Bagi yang ingin menyaksikan persembahan hebat itu boleh berbuat demikian dengan membeli tiket untuk persembahan pada Ahad (hari inj) pukul 3 petang di Menara Berkembar Petronas.

Tiket dijual pada harga RM250, RM180, RM130 dan RM90. Tempahan boleh dibuat menerusi talian 03-20517007 atau layari laman web MPO/DFP: www.mpo.com.my.

Artikel Lain