suria

Nadiya Nissa Azam Jadi Penulis Skrip

Nadiya Nissa
Nadiya Nissa
Nadiya Nissa

PETALING JAYA: Pelakon Nadiya Nissa meletakkan tempoh masa sehingga lima tahun lagi untuk menjadi penulis skrip profesional.

Nadiya atau nama sebenarnya Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, 28, berkata, impian itu sudah lama diinginkan namun masih lagi mempelajari selok-belok penulisan skrip sebelum benar-benar menghasilkan sebuah karya yang bermutu untuk tontonan umum.

"Lima tahun lagi, usia saya 33 tahun. Dan pada ketika itu saya mahu pastikan kemahiran menulis skrip sudah ada dalam diri.

"Memang sudah lama saya idam untuk hasilkan skrip dan setakat ini, ada beberapa idea yang saya rangka dalam buku. Insya-Allah tahun depan saya mula cuba kembangkan idea tersebut menerusi skrip yang dihasilkan," katanya kepada mStar Online.

Tambah Nadiya yang mengagumi karya Redza Minhat dan Wan Hasliza, dia juga masih belajar cara menulis plot cerita dengan baik menerusi tontonan drama dan filem.

Sementara itu, beritahu pemenang Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2011 itu, dia bersyukur apabila melihat kerjayanya semakin berkembang sejak namanya popular menerusi drama Adam dan Hawa pada tahun itu.

Dalam tempoh dua tahun itu, Nadiya mengambil setiap peluang untuk menonjolkan bakatnya sebaik mungkin sehingga sanggup melupakan hasrat meluangkan masa lebih lama dengan keluarga.

"Dalam industri seni kita yang terlalu berkembang, saya harus mengambil peluang yang ada memandangkan orang tengah nak tengok lakonan saya. Mujurlah suami (Saiful Razman) dan anak (Omar) memahami kerjaya saya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadiya bakal muncul menerusi telefilem khas Aidilfitri, Baju Raya Kain Perca pada Raya keenam, pukul 4 petang di TV3 dan telefilem yang akan ditayangkan di Astro First berjudul Anugerah Dendam Yang Terindah menyaksikan gandingannya bersama Aaron Aziz.

Artikel Lain