suria

Keluarga tak restu janda kahwin duda anak 4, anggap ‘red flag’ sebab baik dengan bekas isteri - “Saya rasa dia gentleman”

Keluarga memainkan peranan penting untuk memberi sokongan serta pandangan dalam membuat keputusan demi masa depan yang lebih baik. -Gambar hiasan AI

PERJALANAN hidup sebagai seorang ibu tunggal bukanlah sesuatu yang mudah.

Lebih-lebih lagi jika memikul tanggungjawab membesarkan anak-anak bersendirian, soal hati dan kebahagiaan diri diketepikan kerana mengutamakan keluarga.

Namun apabila peluang kedua hadir, tidak semua kisah cinta itu berakhir seperti yang diharapkan.

Itulah dilema dilalui oleh seorang wanita ini apabila hubungan yang dibina bersama seorang duda tidak mendapat restu keluarganya sendiri.

Menurut wanita berkenaan, dia merupakan ibu tunggal kepada empat orang anak dan kini sedang mengenali hati budi seorang lelaki duda yang juga mempunyai empat orang cahaya mata. 

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya sebab ada ijazah, hubungan dengan lelaki bergaji RM1,800 tak direstui - “Saya nampak potensi kekasih”

ARTIKEL BERKAITAN: Individu saksi 2 abang bercerai, rumah tangga adik perempuan bergolak asbab ibu tak restu - "Kau susah nak rasa bahagia"

"Kami tinggal di negeri yang berjauhan. Anak-anak kami semua dah besar-besar. Kami ada berbincang tentang jodoh. Jika ada jodoh, kami ingin bernikah secepat mungkin," kongsinya di laman sosial.

Bercerita lanjut, wanita tersebut berkata dia terbuka hati dan yakin lelaki berkenaan mampu menjadi suami serta bapa yang baik kerana sikap tanggungjawab yang ditunjukkan.

Apa lebih mengagumkan, sikap itu ditunjukkan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga terhadap bekas isteri.

Setiap individu tidak mengira tua atau muda menginginkan hidup berpasangan. -Gambar hiasan AI

"Kenapa saya rasa dia lelaki yang bertanggungjawab? Selain daripada sifatnya yang tenang dan tak mudah melatah, dia masih bantu bekas isteri urus anak-anak terutamanya melibatkan urusan menghantar dan mengambil anak-anak masuk kampus.

"Dia masih uruskan anak-anak yang bersekolah bila bekas isteri sibuk. Nafkah tetap dihulur on time. Dia rajin bercerita tentang anak-anak, menyerlahkan lagi father figure dirinya. Senang cerita dia seorang ayah provider," jelasnya lagi.

Namun ujarnya, apa menjadi masalah adalah keluarganya sendiri tidak menyenangi sikap ditunjukkan kekasihnya itu.

"Tetapi bila saya ceritakan semua ni kepada family saya, mereka menyuarakan kebimbangan urusan lelaki itu dengan bekas isterinya akan mengganggu kehidupan kami suami isteri nanti.

"Saya buntu sebab saya tidak langsung merasakan sifat tanggungjawab lelaki itu sebagai satu red flag. Malah sifat itu yang membuatkan saya rasa dia lelaki yang gentleman terhadap keluarganya dan saya.

"Atau adakah saya yang salah tafsir?" luahnya penuh persoalan.

  • Seorang wanita berdepan dilema apabila hubungan dengan seorang duda tidak mendapat restu keluarga.

  • Wanita itu merupakan ibu tunggal empat anak dan kini mengenali duda yang juga mempunyai empat orang anak.

  • Mereka menjalinkan hubungan jarak jauh dan merancang untuk bernikah jika ada jodoh.

  • Wanita itu tertarik dengan sikap lelaki tersebut yang bertanggungjawab, termasuk terhadap bekas isteri dan anak-anak.

  • Namun, keluarganya bimbang hubungan lelaki itu dengan bekas isteri akan membawa masalah

Perkongsian wanita berkenaan mengundang perhatian warga maya, dengan rata-ratanya menyarankan supaya dia tidak meneruskan hubungan dengan kekasihnya itu demi kebaikan diri sendiri serta anak-anak.

Malah ramai turut berkongsi pengalaman sendiri yang akhirnya merana kerana tertipu dengan penampilan luaran.

"Lelaki sebelum dapat dia akan cerita yang elok-elok, yang indah-indah. Bila dah dapat, keluar segalanya (yang buruk).

"Jangan percaya bulat-bulat. Kalau betul duda, kena cari yang kematian isteri, bukan isteri hidup lagi.

"Kalau saya jadi awak, lebih baik saya hidup dengan anak-anak je, itu lebih baik," komen netizen. 

Artikel Lain