suria

Isu Hutang Ezany Selesai Selepas Campur Tangan Karyawan

Ezany (tengah) menunjukkan dua salinan laporan yang dibuatnya melalui Persatuan Seniman pada April lalu yang tidak diambil tindakan. Hadir sama Freddie (kanan) dan Deen Maidin.
Ezany (tengah) menunjukkan dua salinan laporan yang dibuatnya melalui Persatuan Seniman pada April lalu yang tidak diambil tindakan. Hadir sama Freddie (kanan) dan Deen Maidin.
Ezany (tengah) menunjukkan dua salinan laporan yang dibuatnya melalui Persatuan Seniman pada April lalu yang tidak diambil tindakan. Hadir sama Freddie (kanan) dan Deen Maidin.

KUALA LUMPUR: Baki hutang drama sebuah syarikat produksi terhadap pelakon Ezany Nizariff yang tertangguh sehingga melibatkan kes polis akhirnya selesai apabila pelakon itu menerima kembali RM3,500 selepas dibantu Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zaini Mohd Nizariff, 40, berkata, dia menerima cek daripada produser Titian Dua iaitu Andy dari syarikat NR Network pada 29 Jun lalu dan sudah menunaikan cek berkenaan pada 7 Julai lepas.

“Alhamdulillah... akhirnya masalah saya dengan syarikat produksi itu selesai. Hutangnya kepada saya sudah dijelaskan selepas pihak Karyawan membantu saya menuntut kembali hak saya,” katanya kepada mStar Onlinepada satu sidang media anjuran Karyawan di Hotel Seri Pasific di sini pada Isnin.

Pada 17 Jun lalu Ezany bersama enam orang kru produksi drama Titian Dua telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dekat sini bagi menuntut sebahagian gaji dari syarikat produksi NR Network yang tidak dibayar kepada mereka.

Dia bersama kru tersebut nekad membuat laporan polis selepas penerbitnya yang dikenali sebagai Andy enggan mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan baki hutang kepada Ezany sebanyak RM3,500 manakala kru-kru produksi lain dianggarkan tidak mendapat upah di antara RM20,000 hingga RM30,000 secara keseluruhan.

Bagaimanapun tunggakan terhadap kru dijelaskan oleh pihak produksi beberapa hari selepas laporan polis itu dibuat.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Ahli Jawatankuasa persatuan tersebut, Deen Maidin.

Ezany berkata dia mendapat wang berkenaan selepas Freddie mengadakan dua kali pertemuan dengan Andy selain kedua-dua pihak berjaya mencapai kesepakatan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

Dalam masa yang sama Ezany turut berterima kasih kepada persatuan itu kerana telah membawanya bertemu dengan pihak pengurusan RTM bagi menyelesaikan isu kononnya dia digam oleh stesen televisyen berkenaan.

“Saya amat gembira kerana dua kes saya berjaya selesai dengan baik. Saya mendapat semula wang saya dan masalah saya dengan RTM juga ditangani dengan berkesan sekali.

Selepas pertemuan dengan pihak RTM itu, saya terus mendapat tawaran berlakon dua buah drama stesen TV itu.

Saya berterima kasih kepada RTM dan Karyawan,” katanya.

Dalam pada itu Ezany berkata dia kesal apabila kesnya itu dipandang ringan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang kononnya menjaga kebajikan artis kerana gagal menyelesaikan hal berkenaan dengan baik.

Ujar Ezany, dia telah membuat laporan pada bulan April lalu berhubung dua isu berkenaan tetapi persatuan tersebut tidak mempunyai usaha membantunya.

“Saya sedih apabila Seniman tidak melaksanakan tugas mereka selain memberi pelbagai alasan sehinggalah Karyawan yang berusaha membantu menyelesaikan masalah ini dalam masa yang singkat selepas laporan dibuat kepada mereka,” katanya.

Sementara itu Freddie berkata, faktor sesebuah aduan tidak dapat diselesaikan kerana berkemungkinan sesebuah persatuan itu tiada pengalaman untuk menangani sesebuah kes.

Dalam isu Ezany itu kata Freddie, beliau mengadakan pertemuan dengan pihak RTM dan syarikat produski berkenaan untuk mencari jalan penyelesaian sehinggalah semua pihak mahu menyelesaikan masalah yang timbul.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain