suria

JKKN Anjur Festival Muzik KL Percuma Bermula Sabtu Ini

Datuk Norliza Rofli (duduk tengah) pada Sidang Media Festival Kuala Lumpur & Festival Muzik KL 2013
Datuk Norliza Rofli (duduk tengah) pada Sidang Media Festival Kuala Lumpur & Festival Muzik KL 2013
Datuk Norliza Rofli (duduk tengah) pada Sidang Media Festival Kuala Lumpur & Festival Muzik KL 2013

KUALA LUMPUR: Festival Muzik Kuala Lumpur 2013 (FMKL 2013) anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) tampil dengan kelainan pada kali ini di mana ia dilaksanakan secara percuma untuk orang ramai.

Penganjuran untuk tahun kesembilan ini akan diadakan dua hari berturut-turut pada 6 dan 7 Julai ini di Jalan Raja, berdekatan Dataran Merdeka, di sini.

Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, festival percuma itu pasti akan memeriahkan lagi suasana berkenaan berbanding acara pada tahun sebelumnya.

"FMKL 2013 menggabungkan persembahan berbentuk hiburan dan bersempena dengan bulan Ramadan, persembahan berbentuk kerohanian dan keilmuan turut diadakan.

"Memandangkan tiada sebarang bayaran dikenakan, kami menyasarkan lebih daripada 3.1 juta yang akan hadir.

"Tambah pula festival ini berlangsung di kawasan popular bagi kalangan pelancong, ia pasti akan lebih meriah daripada biasa," katanya pada sidang media FMKL 2013 di Maju Junction Mall, di sini, pada Rabu.

FMKL 2013 akan mempunyai lima aktiviti utama iaitu bengkel keilmuan, pencungkilan bakat, penyerlahan bakat-bakat baru dan ekspo muzik.

Turut diadakan ialah konsert yang dikenali sebagai A Night With Life Record yang menampilkan artis-artis di bawah syarikat rakaman itu seperti Loka, XPDC, Subculture, Keroz, Awang (BPR), Dead Mushroom dan Projek Pistol.

"Pelajar luar negara juga berpeluang untuk bertanding dan menonjolkan bakat nyanyian dalam Bahasa Melayu menerusi lagu-lagu ciptaan komposer popular Malaysia.

"Di samping mencungkil bakat-bakat baharu, FMKL 2013 turut membawakan penyanyi-penyanyi 'indie' seperti Umagad, The Siblings Band dan Angklubh Seni mengadakan persembahan mereka,"ujarnya.

Tambah Norliza, festival tersebut turut mengetengahkan pelbagai aktiviti muzik lain berkonsepkan 'Kampung Muzik' selain pelbagai aktiviti pameran dan jualan diadakan.

Maklumat lanjut mengenai festival dan tiket boleh didapati dengan melayari laman www.klfestival.org.my.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain