suria

Keith Foo Tarik Diri Bernaung Bawah Astro

Keith Foo
Keith Foo
Keith Foo

KUALA LUMPUR: Pelakon dan model yang mencipta nama di Indonesia iaitu Keith Foo, 30, mengakui telah membatalkan hasratnya untuk menyertai Astro sebagai artis naungan syarikat penyiaran itu.

Keith, anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan itu berkata, dia mengambil keputusan menarik diri dan memilih untuk bergerak sendiri di bawah syarikat pengurusannya Aksi Reaktivasi Sdn Bhd.

"Ya... saya tukar fikiran, saya mengambil keputusan untuk menguruskan sendiri kerjaya lakonan di sini kerana bagi saya bila bergerak sendiri lebih banyak yang boleh diterokai dan belajar.

"Lagi pula saya belum menandatangani apa-apa kontrak dengan Astro, namun hubungan saya dan Astro baik dan saya ada menerima tawaran berlakon drama daripada stesen televisyen itu," katanya ketika ditemui di majlis program Ramadan RTM, di sini, Jumaat.

Pada Mac lalu, Keith Foo dan penulis blog selebriti, Hanis Zalikha diumumkan sebagai artis terbaharu di bawah payung Astro.

Tambah Keith, dia lebih selesa bergerak sendiri berikutan mudah bagi menguruskan jadual dan tawaran lakonannya di Indonesia dan Malaysia.

"Sekarang saya ulang alik Malaysia-Indonesia kerana saya masih lagi menerima tawaran daripada produksi di sana.

"Tapi fokus utama sudah tentu di sini, cuma ada tawaran-tawaran dari negara jiran yang tidak boleh ditolak," katanya yang turut membintangi beberapa drama terbitan RTM.

Kata Keith, dengan pengalaman selama lebih 10 tahun di Indonesia, dia yakin mampu mendapat tempat dalam industri hiburan tanah air pula.

"Bagi saya industri hiburan di Malaysia sudah maju malah mungkin lebih baik dari di Indonesia kerana cara produksi Malaysia bekerja lebih efisien dan bilangan produksi juga sedikit berbanding di Indonesia.

"Saya yakin ini adalah masa untuk saya cuba bakat di negara sendiri dan berharap dapat diterima oleh masyarakat," ujarnya.

Artikel Lain