suria

Anak Larang Sofi Jikan Berlakon Jahat

Sofi Jikan
Sofi Jikan
Sofi Jikan

PETALING JAYA: Pelakon Sofi Jikan mengakui anak-anaknya tidak suka apabila melihat dia melakonkan watak-watak jahat dalam filem.

Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan, 43, berkata, dia berpendapat anak-anaknya iaitu Sufilyana Syahmi, 9, Ilham Izzuddin, 7 dan Irfan Solihin, 2, mungkin mahu dia melakonkan watak baik agar dapat dijadikan contoh.

"Mereka (anak-anak) selalu persoalkan kenapa saya asyik berlakon jadi jahat. Mereka tak suka.

"Saya pun tak tahu kenapa? Tetapi mungkin kerana anak-anak mahu melihat ayah mereka memegang watak hero. Saya siap tanya kalau ada pertandingan anugerah yang melibatkan undian nak undi siapa?

"Mereka kata nak undi Aaron Aziz atau Adi Putra dan bukannya saya," selorohnya.

Bagaimanapun tambah Sofi dia tidak kisah tentang perkara itu kerana dia menganggap ia satu perkara yang normal bagi golongan muda yang sukakan watak-watak hero.

Malah Sofi turut mengakui ada masanya dia berasa malu dengan watak jahat yang dibawakannya kerana mungkin suatu hari nanti dia akan menerima anugerah sebagai 'penjahat hebat' dalam pertandingan-pertandingan tertentu.

"Siapa yang mahu jadi penjahat yang hebat secara realitinya bukan? Kadang kala dalam rasa syukur kerana menerima anugerah hasil daripada lakonan kita, ada juga rasa malu kerana dipanggil 'penjahat terhebat'.

"Apa-apa pun saya gembira dengan apa yang dimiliki sekarang ini kerana melalui watak jahat itulah orang ramai mengenali saya," katanya.

Dalam pada itu, Sofi berkata dia mahu memberikan kelainan dalam watak yang dilakonkannya dengan memilih karakter yang lebih baik selepas ini.

"Kalau ambil watak baik sahaja, pasti peminat terkejut. Jadi saya mahu ambil watak jahat tetapi tidak terlalu ekstrem.

"Dan kemudiannya saya akan memilih watak yang lebih baik daripada projek lakonan saya sebelum ini.

"Kalau nak tahu sudah empat bulan saya tak berlakon kerana ingin memilih watak yang sesuai," ujarnya.

Mengenai perkembangan terbaharunya, Sofi bakal memulakan penggambaran filem KL Cinta Mandi Toq terbitan White Merpati dan Hantu Nan Sempit (Excellent Pictures).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain