suria

Lakonan Bukan Lagi Keutamaan Deanna Yusoff

Deanna Yusoff. Foto RICKY LAI
Deanna Yusoff. Foto RICKY LAI
Deanna Yusoff. Foto RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Pelakon Deanna Yusoff nafi kecewa dengan industri seni tempatan sehingga membuatkan dia menyepikan diri daripada sebarang kerja lakonan sejak menjayakan filem Chermin pada tahun 2007.

Deanna, 46, berkata, dia tidak pernah berasa kecewa mahupun serik dengan bidang yang diminatinya itu, namun karier lakonan kini bukan lagi menjadi keutamaannya.

"Saya tak boleh nak cakap kecewa dengan industri kita cuma ia tidak lagi menjadi keutamaan selepas 20 tahun berada dalam dunia seni.

"Kalau boleh saya tak mahu bekerja keras seperti dahulu mengambil apa sahaja tawaran lakonan yang diterima. Cara itu sudah tidak seronok lagi bagi usia saya yang semakin meningkat ini.

"Dengan suasana kerja yang begitu mendesak, lebih baik saya memilih kerja yang sesuai dengan keadaan saya sekarang," katanya.

Tambah Deanna, dia juga kini sibuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan sebagai Ketua Pengarah Eksekutif, Artisanal Asia Sdn. Bhd., iaitu syarikat pengedar eksklusif bagi jenama coklat dari Switzerland, GrandJean Freres.

Bagaimanapun pelakon kacukan Melayu-Swizerland ini akan menerima tawaran berlakon sekiranya watak yang ditawarkan menepati cita rasanya.

Terbaharu, Deanna bakal beraksi menerusi filem CEO terbitan ARAfilm bersama-sama dengan pelakon Remy Ishak, Beto Kusyairy dan Christina Suzanne.

"Alhamdulillah, selepas meneliti skrip di mana saya perlu menggalas tanggungjawab sebagai peguam yang cuba memanipulasikan orang.

"Agak menarik penceritaannya dan saya percaya filem ini akan memberi kelainan buat para penonton," ujarnya.

CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) mengisahkan tentang dua lelaki yang berlainan darjat iaitu Adam (Remy) sebagai CEO dalam sebuah syarikat besar yang berjaya dan Sufian (Beto) seorang penghantar piza yang tiada cita-cita.

Bagaimanapun, kerana satu insiden, kehidupan kedua-dua lelaki itu berubah di mana Adam telah kehilangan jawatannya manakala Sufian pula mengambil alih tempat Adam.

Keliru dengan perubahan diri masing-masing, Adam dan Sufian mula menyiasat punca-punca keadaan mereka berubah.

Dalam perkembangan lain, Deanna memberitahu, sehingga kini dia masih sibuk dengan pelbagai undangan nyanyian dan serta sebagai pengacara majlis.

Artikel Lain