suria

Maya Karin Menyanyi Selepas Diminta Peminat

Maya tampil dengan album terbaharu bukan hanya kerana minat tetapi demi permintaan para peminatnya.
Maya tampil dengan album terbaharu bukan hanya kerana minat tetapi demi permintaan para peminatnya.
Maya tampil dengan album terbaharu bukan hanya kerana minat tetapi demi permintaan para peminatnya.

PETALING JAYA: Pelakon Maya Karin mengambil keputusan untuk kembali aktif sebagai penyanyi bukan sahaja kerana rindukan bidang tersebut tetapi ingin memenuhi permintaan para peminatnya.

Maya, 33, berkata, pertanyaan mengenai album terbaharu sering diajukan oleh mereka kepadanya dan kerjasama bersama Warner Music Malaysia adalah masa tepat untuk dia berbuat demikian.

"Saya tidak pernah lupakan bidang nyanyian kerana ia adalah cinta pertama saya dan saya sentiasa ingin kembali menyanyi cuma kekangan masa telah membatasi hasrat itu.

"Malah peminat juga sering bertanyakan hal serupa kepada saya dan kemunculan semula ini adalah demi memenuhi permintaan mereka," jelasnya kepada mStar Online.

Maya melancarkan ‘single’ pertamanya berjudul Bintang Syurga dan ia bakal dimuatkan dalam albumnya yang akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Maya sebelum ini pernah muncul dengan dua buah album iaitu Erti Cinta pada tahun 2001 dan Bukan Qalamaya (2004).

Dalam pada itu, Maya berkata, walaupun sudah lama menyepi daripada mengadakan persembahan pentas dia tidak berasa kekok jika diminta untuk berbuat demikian.

Malah kata Maya, pihak pengurusannya juga telah mengaturkan pelbagai sesi promosi untuk ‘single’ terbaharunya itu selain bakal mengadakan beberapa persembahan.

"Ia sebagai 'warm up' sebelum album penuh dipasarkan pada penghujung tahun ini dan sudah tentu saya teruja untuk kembali ke pentas menghiburkan peminat," katanya.

Maya berkata, album itu nanti akan diterbitkan oleh Audi Mok dan Omar K dan dia yakin dengan kredibiliti dua nama tersebut dalam menghasilkan karya terbaik untuknya.

Bagaimanapun kata Maya, dia berasa lega apabila pihak syarikat rakamannya memberi kebebasan untuknya menentukan konsep dan arah tujuan lagu-lagu dalam album tersebut.

"Walaupun saya tidak bertindak sebagai penerbit tetapi konsep album itu daripada saya. Saya mahu muzik itu nanti mempunyai identiti tersendiri dan bukannya terikut-ikut dengan trend semasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia, Darren Choy berkata, dia yakin dengan kemampuan Maya sebagai penyanyi dan teruja dengan kolaborasi itu.

Jelas Darren, pihaknya telah mengaturkan pelbagai strategi untuk memastikan kemunculan semula itu mendapat perhatian daripada peminat sekali gus membawa karier Maya ke tahap lebih tinggi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain