suria

Anugerah Blokbuster 2 Perkenalkan Kategori 'Gempak WeChat'

Scha Al-Yahya dan AC Mizal, hos Anugerah Blokbuster 2.
Scha Al-Yahya dan AC Mizal, hos Anugerah Blokbuster 2.
Scha Al-Yahya dan AC Mizal, hos Anugerah Blokbuster 2.

KUALA LUMPUR: Barisan artis yang bakal membuat persembahan pada Anugerah Blokbuster 2 yang akan berlangsung pada 15 Jun ini, berpeluang meraih trofi menerusi kategori 'Anugerah Gempak WeChat'.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, anugerah tersebut adalah untuk memberi penghargaan kepada penyanyi-penyanyi yang menghiburkan acara pada majlis tersebut.

"Ia juga sebagai salah satu kelainan yang ditonjolkan dalam anugerah ini berbanding acara penganugerahan yang lain.

"Pihak kami mahu penyanyi-penyanyi yang terlibat turut dicalonkan menerusi kategori Anugerah Gempak WeChat.

"Para peminat boleh mengundi menerusi aplikasi telefon WeChat di bawah tajuk 'Astro WeChat vote' di mana undian sudah pun bermula Rabu (semalam)," katanya.

Khairul ditemui pada sidang media memperkenalkan kategori baru itu di Hotel Best Western Premier di sini pada Rabu.

Antara barisan artis yang akan membuat persembahan dalam acara itu ialah Adam, Stacy, Azlan And The Typewriter, Hazama, Kristal, Dayang Nurfaizah, Jacltn Victor, Aizat, DJ Fuzz, Roman dan Shae.

Sementara itu dua pengacara hebat iaitu Datuk AC Mizal dan Scha Al Yahya diberi tanggungjawab mengendalikan acara berkenaan.

Dalam pada itu AC berkata, dia begitu teruja bekerjasama dengan Scha memandangkan selama ini dia sering mengacara sendirian tanpa gandingan.

" Ini merupakan kali pertama saya digandingkan dengan Scha dan saya cukup teruja untuk melakukan kolaborasi dengannya.

"Saya yakin kami mempunyai keserasian tersendiri dalam mengendalikan acara besar ini," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon Tasha Shila, Hanis Zalikha, Hafizul dan Hefny pula mengacara bagi acara karpet merah.

Sebanyak 16 kategori yang melibatkan 49 pencalonan (bagi setiap kategori) diperkenalkan menggunakan 100 peratus undian daripada orang ramai.

Bagi yang ingin mengundi, proses pengundian boleh dilakukan menerusi laman web rasmi Anugerah Blockbuster iaitu di www.anugerahblockbuster.com.my dan menerusi keratan akhbar.

Antara filem-filem yang layak bertanding termasuklah Chow Kit, Ngorat, Istanbul Aku Datang, Adnan Sempit 2, 29 Februari, Apa Celop Toqq, Mael Lambong, Untuk Tiga Hari, Jiwa Taiko, Kahwin Lima dan Zaiton Ceritaku.

Acara itu akan diadakan di Stadium Tertutup MBJB (Majlis Bandaraya Johor Bahru), Johor pukul 9.00 malam.

Penonton juga dapat menyaksikannya menerusi saluran Astro Ria.

Berikut adalah 15 kategori yang dipertandingkan:

1. Anugerah Filem Terhebat

2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat

3. Anugerah Direktor Baru Terhebat

4. Anugerah Filem Aksi Terhebat

5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat

6. Anugerah Filem Takut Terhebat

7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat

8. Anugerah Hero Terhebat

9. Anugerah Heroin Terhebat

10.Anugerah Watak Penyangak Terhebat

11.Anugerah Lagu Filem Terhebat

12.Anugerah Hero Baru terhebat

13.Anugerah Heroin Baru terhebat

14. Anugerah PFM

15. Anugerah Astro First Terhebat

16. Anugerah Gempak WeChat

Artikel Sebelum

Artikel Lain