suria

Seniman Tarik Balik Permohonan Batal Saman Artis Veteran

Harun Salim Bachik, bekas Presiden Seniman.
Harun Salim Bachik, bekas Presiden Seniman.
Harun Salim Bachik, bekas Presiden Seniman.

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan tujuh yang lain pada Rabu menarik balik permohonan bagi membatalkan saman dikemukakan lima artis veteran berhubung mesyuarat agung persatuan itu yang didakwa tidak sah.

Pesuruhjaya Kehakiman Rosilah Yop membatalkan permohonan itu dengan kos RM5,000 ketika kes berkenaan disebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam Yusfarizal Yussoff dan Bazlinda Bahrin.

Peguam Yusfarizal, yang mewakili kesemua artis veteran itu, memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi menetapkan 3 September depan untuk pengurusan kes manakala 2 Oktober ditetapkan untuk perbicaraan.

Pada 22 Februari lepas, pelakon Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani dan Roslinda Buang memfailkan saman terhadap persatuan itu dan tujuh yang lain.

Mereka menamakan persatuan itu, presidennya ketika itu Haron Aminar Rashid Salim atau Harun Salim Bachik, setiausaha Omar Kamarudin atau Yusof Kelana, bendahari Wafa A.Kadir dan Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, yang semasa itu pemangku timbalan presiden, sebagai defendan.

Tiga lagi ialah anggota jawatankuasa persatuan itu Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar dan Zaharudin Wahab.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif memohon satu deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Persatuan Seniman Malaysia ke-14 serta Laporan Kewangan Tahun 2011 dan minit mesyuarat agung yang dibentangkan pada 26 Mei 2012 adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka mendakwa selain plaintif dan defendan, terdapat beratus-ratus lagi yang hadir pada mesyuarat itu diragui keahliannya.

Mereka juga memohon deklarasi pemilihan anggota jawatankuasa persatuan yang diadakan pada mesyuarat berkenaan juga tidak sah.

Plaintif turut memohon ganti rugi am, teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain menuntut Harun Salim Bachik, Yusof Kelana dan Wafa membayar RM56,000 kepada persatuan itu atas dakwaan menyebabkan kerugian kepada persatuan itu berhubung pembelian hartanah.

Pada 28 Februari lepas, persatuan itu memfailkan permohonan bagi membatalkan saman atas alasan plaintif tidak mempunyai cukup ahli bagi mendapatkan deklarasi untuk membatalkan mesyuarat agung persatuan itu mengikut peruntukan Fasal 13 Perlembagaan Seniman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain