suria

Johor Dipilih Penganjuran Anugerah Blockbuster Tahun Ini

Pansha
Pansha
Pansha

KUALA LUMPUR: Penganjuran kali kedua Anugerah Blockbuster 2012 yang dipilih berdasarkan undian peminat akan diadakan di Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB), Johor pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Pansha Nalliah berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada penduduk di luar Lembah Klang merasai kehangatan acara itu.

"Kami pada mulanya sukar mencari lokasi di Kuala Lumpur dan selepas perbincangan dibuat kami bersetuju untuk mengadakan acara itu di Johor," katanya pada sidang media Anugerah Blockbuster di Hotel Western Premier di sini, Isnin.

Acara itu dijadualkan berlangsung pada 15 Jun depan pada pukul 9 malam.

Ia bakal disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Radio Era.

Dalam pada itu, Pansha berkata, pihaknya dan Astro akan memastikan penganjuran Anugerah Blockbuster 2012 akan lebih berjaya berbanding tahun lalu.

Malah katanya, aktiviti promosi akan dibuat dengan lebih baik supaya kehangatan anugerah itu dapat dirasai.

"Tahun lalu kita menghadapi masalah masa apabila ia dibuat dalam masa yang singkat. Jadi tahun ini promosi dapat disusun dengan lebih kemas," katanya.

Bakal mengangkat tema 'hipster', Pansha bagaimanapun berkata, senarai pengacara, persembahan dan sebagainya akan diumumkan dalam sidang media seterusnya.

Filem yang layak bertanding dalam Anugerah Blockbuster 2012 adalah karya yang ditayangkan bermula 1 Januari 2012 sehinggalah 31 Disember 2012.

Sebanyak 15 kategori yang melibatkan 49 pencalonan (bagi setiap kategori) diperkenalkan menggunakan 100 peratus undian daripada orang ramai.

Bagi yang ingin mengundi, proses pengundian akan dilakukan di laman web rasmi Anugerah Blockbuster iaitu di www.anugerahblockbuster.com.my dan menerusi keratan akhbar.

Undian pusingan awal akan dibuka bermula 19 April 2013 sehingga 10 Mei 2013.

Sepuluh calon yang mendapat undian terbanyak bagi setiap kategori layak ke pusingan seterusnya di mana undian akan dilakukan dengan kaedah serupa.

Antara filem-filem yang layak bertanding termasuklah Chow Kit, Ngorat, Istanbul Aku Datang, Adnan Sempit 2, 29 Februari, Apa Celop Toqq, Mael Lambong, Untuk Tiga Hari, Jiwa Taiko, Kahwin Lima, dan Zaiton Ceritaku .

Berikut adalah 15 kategori yang dipertandingkan:

1. Anugerah Filem Terhebat

2. Anugerah Tuan Direktor Terhebat

3. Anugerah Direktor Baru Terhebat

4. Anugerah Filem Aksi Terhebat

5. Anugerah Filem Kelakar Terhebat

6. Anugerah Filem Takut Terhebat

7. Anugerah Drama Muzikal Terhebat

8. Anugerah Hero Terhebat

9. Anugerah Heroin Terhebat

10.Anugerah Watak Penyangak Terhebat

11.Anugerah Lagu Filem Terhebat

12.Anugerah Hero Baru terhebat

13.Anugerah Heroin Baru terhebat

14. Anugerah PFM

15. Anugerah Astro First Terhebat

Artikel Lain