Mojo Mahu Kembang Kerjaya Di Hong Kong - Hiburan | mStar

Mojo Mahu Kembang Kerjaya Di Hong Kong

Kumpulan Mojo
Kumpulan Mojo

KUALA LUMPUR: Kumpulan Mojo bercadang untuk mengembangkan kerjaya seni mereka pada peringkat Asia selepas merangkul tempat kedua dalam pertandingan Hong Kong Asian-Pop Music Festival (HKAMF) yang diadakan di Hong Kong Convention Centre pada 22 Mac lalu.

Salah seorang anggotanya, Edry Abdul Halim bagaimanapun berkata, persediaan rapi perlu dilakukan sebelum mereka berbuat demikian supaya produk yang bakal dikeluarkan berkualiti dan dapat diterima ramai.

"Sejujurnya kami tidak berfikir sehingga ke arah itu apabila menyertai pertandingan tersebut tetapi rasanya tidak salah mengambil peluang berkenaan.

"Namun biarlah produk yang dihasilkan yang terbaik dan tidak sekadar tangkap muat sahaja," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Solaris Mont Kiara, di sini, Rabu.

Pada pertandingan yang turut disertai oleh negara seperti Singapura, Korea, Jepun, Taiwan dan China itu, vokalis utamanya, Aweera turut merangkul anugerah Persembahan Vokal Terbaik HKAMF) manakala gelaran juara disandang oleh kumpulan MIC dari China.

Mojo telah menarik perhatian tujuh juri apabila mempersembahkan dua buah lagu iaitu Andai Aku Bercinta Lagi dan Dreams On nyanyian asal kumpulan Aerosmith.

Selain Edry yang juga anggota KRU sebagai pemain keyboard dan Mojo turut dianggotai oleh Aweera, Johar (pemain dram), Denny (gitaris) dan Pito (basis).

Dalam pada itu, Edry berkata, buat permulaan lagu Andai Aku Bercinta Lagi akan dirakamkan dalam Bahasa Kantonis oleh seorang artis Hong Kong untuk pasaran negara itu selepas ada wakil syarikat rakaman di sana berminat dengan karya tersebut.

Edry berkata, pihaknya baru sahaja selesai mengalih bahasa lirik lagu berkenaan dan sedang menunggu proses seterusnya.

"Walaupun bukan kami yang akan menyanyikan lagu itu tetapi saya tetap teruja kerana terbukti lagu ciptaan tempatan dapat menarik minat masyarakat di sana," jelasnya.

Sementara itu, Aweera berkata, dia sama sekali tidak menyangka akan memenangi kategori vokal terbaik kerana tidak meletakkan sebarang harapan.

"Pemergian kami ke sana hanya untuk menimba pengalaman dan berseronok dan tidak sangka dapat membawa pulang trofi.

"Bagaimanapun kami sangat seronok ketika berada di sana dan ada peminat menunggu kami di lobi hotel dan lapangan terbang," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Ramani Ramalingam berkata, pemilihan Mojo bagi mewakili Malaysia dibuat berdasarkan kemenangan mereka dalam kategori Artis Baru Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM) lalu.

"Sebelum ini kita pernah menghantar artis yang menang dalam kategori sama iaitu Bunkface dan Projek Pistol pada acara sama.

"RIM akan terus menyokong artis-artis tempatan yang berpotensi untuk dibawa ke luar negara supaya bakat mereka tidak terhenti di situ sahaja," jelasnya.

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.