suria

Mark W. Travis Bakal Adakan Bengkel Perfileman Di Malaysia

Mark W. Travis.
Mark W. Travis.
Mark W. Travis.

KUALA LUMPUR: Program kelas bimbingan pengarahan filem selama tiga hari kendalian Pengarah filem dari Hollywood, Mark W. Travis akan diadakan di Petaling Jaya, mulai 11 Januari ini.

Sesi bimbingan dikenali sebagai 'Malaysian Film Workshop' itu, pembikin filem profesional akan diberi pendedahan mengenai kemahiran mengarah, memperoleh ilmu asas langkah demi langkah menggunakan Teknik Travis, selok-belok pementasan dan pengarahan menggunakan kamera.

Astrio Motion Pictures dalam satu kenyataan hari ini berkata bengkel tahunan itu direka khas untuk pembikin filem di Malaysia dan Asia bagi memperluaskan perspektif dan pengetahuan dalam teknik pembikinan filem, metodologi dan teknologi melalui pengalaman sendiri dan latihan.

Travis telah mengajar di lebih 50 institusi filem di Amerika Syarikat (AS) dan antarabangsa termasuk 'The Directors Guild, American Film Institute, Pixar Animation Studios, UCLA Extension, Hollywood Film Institute dan Filem Festival Cannes.

Menggunakan Teknik Travis, beliau berjaya mengembangkannya secara meluas melalui seminar dan bengkel sekali gus menjadi titik tolak kepada kejayaan karier bidang perfileman di AS dan seberang laut.

Travis juga pernah menjadi perunding pengarah dan skrip dalam beberapa filem sorotan termasuk 'Men Of Honor, 'Barbershop', 'Barbershop 2', 'The Day Reagan Was Shot', 'Norma Jean', 'Jack And Me' dan 'The Last Run', selain siri drama televisyen 'Lois and Clark', 'The Pretender', 'Picket Fences' dan '90210'.

Sejak 20 tahun lalu, beliau telah mengarahkan lebih 60 produksi teater di Los Angeles dan New York.

Bengkel itu akan diadakan di PJ Live Arts Theater, Palm Square di Petaling Jaya.

Mereka yang berminat boleh menghubungi My Film Workshop di talian +603-2149 9335 atau menerusi e-mel, [email protected] atau melayari www.myfilmworkshop.com. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain