suria

Persembahan 4 Gitaris Serlahkan 'Konsert G 4 Petikan Legasi'

Dua gitaris legenda Man Kidal (kiri) dan Joe (Wings) bersatu dalam Konsert G4: Petikan Legasi di KL Live, malam Ahad. - Foto oleh AZHAR MAHFOF
Dua gitaris legenda Man Kidal (kiri) dan Joe (Wings) bersatu dalam Konsert G4: Petikan Legasi di KL Live, malam Ahad. - Foto oleh AZHAR MAHFOF
Dua gitaris legenda Man Kidal (kiri) dan Joe (Wings) bersatu dalam Konsert G4: Petikan Legasi di KL Live, malam Ahad. - Foto oleh AZHAR MAHFOF

KUALA LUMPUR: Aksi sulung gabungan empat gitaris tersohor negara dalam “Konsert G4: Petikan Legasi” di KL Live di sini pada malam Ahad begitu gah dengan kehebatan mereka yang cukup menyerlah.

Konsert yang menampilkan Man Kidal, Hillary Ang, Joe (Wings) dan Kid (Search) itu nyata berjaya memukau hampir 2,000 penonton yang memenuhi ruang persembahan itu.

Tampil ringkas dengan 15 buah lagu, Ilusi Intonasi dipilih sebagai lagu pembukaan kira-kira pukul 9 malam dengan menggabungkan petikan gitar keempat-empat pemuzik terkenal itu.

Nyata kesemua mereka cukup hebat dengan petikan gitar sehingga membuatkan semua peminat yang sudah menunggu seawal pukul 7 petang benar-benar memberi sokongan terbaik.

Sukar untuk membandingkan kehebatan mereka yang nyata mempunyai kelebihan masing-masing apabila meneruskan persembahan dengan lagu-lagu seperti 1 Malaysia, Mencari dan POV.

Tiga aspek terbaik tentang persembahan empat legasi pemuzik terkenal itu adalah petikan gitar dan pukulan dram yang selaras dan bertenaga, sekali gus memberikan impak ekstra pada konsert tersebut.

Persembahan pada malam itu turut menyaksikan Hillary memperkenalkan penyanyi baru iaitu Evelyn Feroza yang menyumbangkan vokal mengiringi petikan hebatnya menerusi lagu Shine On dan White Noise.

Momentum persembahan pada malam itu turut diserikan dengan persembahan lagu Gerhana daripada kumpulan Kembara dan turut dinyanyikan oleh penonton yang hadir.

Tambah manis apabila Joe (Wings) mengejutkan para peminatnya dengan menyanyikan dua buah lagu berjudul Orang Timur dan Blues G4.

Nyata persembahan vokal gitaris terkenal itu hebat seiring dengan petikan gitarnya yang cukup membuatkan peminat tidak senang duduk.

Tidak ketinggalan Man Kidal turut menjemput anaknya sendiri, Elly untuk mengiringinya dalam mempersembahkan karya seperti Hati Emas, Arah Yang Hilang dan Sentuhan Kidal.

Antara lagu lain yang dipersembahkan pada malam itu adalah Sato, Back In Black, Strombringer dan Samar Yang Terang.

Barangkali kecacatan konsert tersebut terletak kepada cara komunikasi semua pemuzik yang kelihatan janggal dan kekok.

Namun keempat-empat mereka bijak menutup kelemahan tersebut dengan kehebatan mereka bermain gitar. Kehebatan malam itu diakhiri dengan lagu G4 Fast and Furios dan Ilusi Intonasi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain