suria

Pengarah Kecewa 'Sepah The Movie' Bukan Hasil Tangan Miliknya 100%

Roslin (dua, kanan) bersama barisan pelakon filem Sepah The Movie pada majlis Hari Raya dan tayangan treler filem itu, Jumaat lalu. - Foto oleh AHMAD MOHSIN DADAMEAH
Roslin (dua, kanan) bersama barisan pelakon filem Sepah The Movie pada majlis Hari Raya dan tayangan treler filem itu, Jumaat lalu. - Foto oleh AHMAD MOHSIN DADAMEAH
Roslin (dua, kanan) bersama barisan pelakon filem Sepah The Movie pada majlis Hari Raya dan tayangan treler filem itu, Jumaat lalu. - Foto oleh AHMAD MOHSIN DADAMEAH

PETALING JAYA: Pengarah filem Sepah The Movie, MP Roslin Md Sharif berasa dianiaya dan kecewa apabila terdapat campur tangan daripada pihak lain yang telah menyiapkan karya filem sulungnya itu.

Roslin berkata, sepanjang pembabitannya dalam filem tersebut, hanya 80 peratus pembikinan sahaja adalah miliknya manakala 20 peratus lagi, iaitu pada penyiapan akhir karya itu adalah hasil tangan orang lain.

"Walaupun campur tangan 20 peratus itu tidak menggugat jalan cerita filem ini, tetapi saya tetap berasa kecewa kerana sebagai pengarah, saya berhak membuat atau memutuskan apa-apa sahaja berkaitan dengan pembikinannya.

"Tambah pula kualiti warna visual serta beberapa perkara teknikal lain tidak seperti yang saya inginkan.

"Dan semua ini berlaku kerana ada pihak yang mahu menganiaya saya. Mujurlah pihak penerbit sedar tentang kesilapan yang telah berlaku itu," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran filem Sepah The Movie yang bakal ditayangkan pada 29 November depan di Bukit Kiara Equatrian Park, di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, tambah Roslin, dia terpaksa reda dengan hal tersebut dan menerima hasil filem yang menampilkan pelakon utamanya, Shuib, Mamat dan Jepp, seadanya.

"Memandangkan filem ini adalah karya pertama arahan saya, jadi saya terimanya sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati selepas ini.

"Dalam pada itu, saya ingin nasihatkan pada penerbit-penerbit lain, apabila melantik seseorang pengarah, berilah kepercayaan sepenuhnya pada mereka," tegasnya.

Sementara itu, mengenai filem Sepah The Movie ia turut dibarisi pelakon Anzalna dan Jehan Miskin, yang mengisahkan tentang ragam tiga lelaki bujang yang bekerja di sebuah kilang elektronik.

Jep, Shuib dan mamat berkawan rapat sejak kecil lagi mempunyai hobi sama iaitu obses dengan sukan motor lasa atau motor cross. Mereka yang dikenali sebagai 'Sepah' merupakan juara sukan tersebut di Johor Bahru.

"Walaupun terpaksa bersaing dengan filem-filem lain, saya percaya ia adalah sebuah karya yang sangat berbeza.

"Tambah pula kisah penggunaan sukan motor lasak jarang dipaparkan di filem dan filem terakhir yang menggunakan konsep berkaan adalah Ali Setan.

"Moga ia diterima dan seperti target pihak penerbit (PTV Film Production), kami menyasarkan kutipan sebanyak RM4 juta, InsyaAllah," ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain