suria

Hanez Suraya Selesa Berkawan Dengan Awi Rafael

Hanez Suraya akui selesa berkawan dengan Awi Rafael.
Hanez Suraya akui selesa berkawan dengan Awi Rafael.
Hanez Suraya akui selesa berkawan dengan Awi Rafael.

PETALING JAYA: Pelakon drama bersiri 3 Janji, Hanez Suraya mengakui selesa menjalinkan hubungan dengan penyanyi Awi Rafael yang digosipkan bercinta dengannya.

Hanez berkata, Awi adalah lelaki yang paling rapat dengannya buat masa ini namun menolak dakwaan mereka sedang bercinta.

"Tiada apa yang perlu saya sorokkan kerana hakikatnya memang kami berkawan baik dan bukannya bercinta buat masa ini.

"Namun tidak dinafikan Awi adalah lelaki yang paling rapat dengan saya," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Tambah Hanez, buat masa ini dia tidak mahu memikirkan mengenai soal cinta kerana terlalu sibuk dengan kariernya sebagai pelakon dan tidak mahu terburu-buru mengejar soal itu.

"Sekarang ni memang tiada masa nak cari teman lelaki kerana sibuk dengan kerja jadi saya tidak terlalu memikirkannya. Tambahan pula ia bukan keutamaan untuk diri saya," katanya.

Dalam pada itu, ditanya jika dia ditakdirkan bercinta dengan Awi, Hanez berkata, sukar baginya untuk menyatakan mengenai hal tersebut dan membiarkan masa menentukan hala tuju hubungan mereka.

Hanez memberitahu, walaupun berkawan baik tetapi mereka jarang dapat berjumpa kerana sibuk dengan aktiviti seni masing-masing dan hanya berbual memalui telefon jika berkelapangan.

"Kami masing-masing sibuk dan hanya berkesempatan untuk bercakap menerusi telefon sahaja. Tetapi dia adalah seorang kawan yang banyak memberi saya semangat dan menyokong dalam apa saja yang saya lakukan," ujarnya.

Bagaimanapun kata Hanez, sekiranya hubungan mereka menjadi serius, biarlah perkara itu didedahkan sendiri oleh Awi kerana tidak manis baginya sebagai wanita untuk bercakap mengenai perkara tersebut.

"Nanti orang kata saya syok sendiri pula, jadi jika perkara itu berlaku antara saya dan Awi biarlah dia yang membuka mulut dan bukannya saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hanez berkata, dia bakal berangkat ke Perancis pada 20 Mei depan bagi menyelesaikan baki penggambaran drama bersiri berjudul Dalam Hati Ada Taman yang menggandingkan dirinya dengan pelakon popular Indonesia iaitu, Randid Pangalila.

Hanez berkata, dia senang dapat bekerjasama dengan pelakon sinetron itu kerana Randid sangat peramah dan banyak membantu ketika di set penggambaran.

"Ini bukan kali pertama bekerja dengan dia jadi apabila bertemu kembali untuk drama bersiri Dalam Hati Ada Taman telah memudahkan keserasian kami kerana saling mengenali," ujarnya.

Drama arahan Michael Ang itu katanya bakal disiarkan di saluran Astro Ria dalam masa terdekat.

Selain itu juga dia bakal muncul dengan telefilem berjudul Suri untuk siaran TV3.

Artikel Lain