suria

Dira Mengaku Bukan Mahu Raih Rating Dalam 'Melodi'

PETALING JAYA: Pengacara Dira Abu Zahar menganggap penglibatannya dalam program Melodi selama ini bukan untuk mempengaruhi rating rancangan itu sebaliknya sekadar memenuhi peranannya sebagai seorang pengacara.

Dira mengakui jika diukur daripada segi rating, dia tidak mungkin dapat menambah jumlah penonton rancangan itu memandangkan pengaruhnya dalam dunia hiburan selama ini tidaklah begitu kuat.

"Sejak mula lagi ditawarkan menjadi pengacara Melodi, saya merasakan mereka ingin mengambil saya kerana bakat bukannya untuk menarik perhatian atau rating penonton.

"Saya tahu bahawa “Dira Abu Zahar” tidak mungkin dapat mempengaruhi penonton untuk menaikkan rating kerana populariti saya.

"Cuma, semasa mengendalikan rancangan itu, saya hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Isnin.

Dira diminta mengulas kenyataan penerbit Melodi, Azman Abd Ghafar dalam mStar Online, Isnin yang mendakwa pengacara itu kurang memberikan impak kepada penonton dan disifatkan tidak sesuai mengendalikan program hiburan tersebut.

Malah Dira dikatakan tidak mempunyai keserasian bersama gandingannya, Zizan Razak, walaupun banyak kemajuan yang ditunjukkan sepanjang setahun mengendalikan program tersebut.

Kata Dira, walaupun dianggap kurang serasi bersama Zizan, dia berasa gandingan mereka berdua tidak mempunyai sebarang masalah.

"Sepanjang saya dan Zizan bekerjasama, kami tidak pernah mempunyai masalah. Kami tahu dengan peranan masing-masing. Malah pembawaan karakter saya dalam Melodi sentiasa berubah, agar penonton tidak berasa bosan.

"Tetapi, jika pihak Melodi berkata kami mungkin kurang serasi, saya tidak boleh buat apa-apa kerana mereka lebih tahu," ujarnya.

Bagaimanapun, beritahu pelakon filem Chow Kit ini, jauh di sudut hatinya, dia berasa sedikit terkilan kerana terpaksa direhatkan sejak sebulan yang lalu bagi menyelesaikan dakwaan kes pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sehingga mencetuskan kontroversi pada April lalu.

"Siapa yang tidak terkilan apabila terjadi perkara seperti ini, kerana sudah setahun saya bersama Melodi, pasti saya rindu untuk kendalikan program itu bersama Zizan.

"Apa-apa pun saya terima sahaja keputusan daripada pihak TV3. Lagipun saya rasa semua ini ada hikmahnya kerana jika dahulu saya terpaksa menangguhkan hasrat untuk menyambung pelajaran kerana Melodi, kini saya menggunakan rehat saya untuk tujuan itu," ujarnya.

Dira kini sedang melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang filem dan televisyen di Universiti Limkokwing.

Pada Jun ini pula dia akan membuat pengajian secara dalam talian untuk bidang penulisan di New York Film Academy.

Artikel Sebelum

Artikel Lain