suria

Mania: Chaq, Penyanyi Pertama Tersingkir

Chaq
Chaq
Chaq

KUALA LUMPUR: Nasib tidak menyebelahi penyanyi Chaq apabila dia menjadi peserta pertama tersingkir dalam konsert pertama Mania, pada malam Sabtu.

Chaq yang berada di bawah empayar Aubrey Suwito mendapat undian terendah dengan hanya memperoleh peratusan undian Pesanan Khidmat Ringkas (SMS) sebanyak 4 peratus.

Menurut Chaq yang membawakan lagu Lelaki Seperti Aku, nyanyian asal Alif Satar, dia terpaksa akur dengan keputusan tersebut meskipun dia telah membuat persembahan yang terbaik pada malam itu.

"Saya akur dengan keputusan itu, tetapi sekurang-kurangnya saya tersingkir dengan meninggalkan persembahan yang terbaik. Lagipun, nak membandingkan dengan peserta-peserta lain, mereka semua adalah penyanyi yang hebat.

"Bagaimanapun, saya berbangga kerana mendapat peluang berada di bawah didikan Aubrey walaupun untuk jangka masa yang terlalu pendek.

"Dia telah membuka mata saya, bahawa saya boleh membawakan lagu berkonsepkan KPop, menerusi lagu Lelaki Seperti Aku," kata abang kepada Stacy yang turut menyertai Mania.

Pada minggu pertama konsert tersebut, Hafiz telah mendapat markah undian tertinggi iaitu sebanyak 12 peratus, Ebi (10%), Stacy (9%), Estrange (8%), Hazama (8%), Shila Amzah (7%), Atilia (6%), Akim (6%), Jac (6%), Awi Rafael (5%), Alyah (5%), Adira (5%), Aril (4%) dan Kristal (4%).

Dalam pada itu, Aubrey yang juga mempunyai empat lagi peserta di bawah empayarnya iaitu Alyah, Adira dan Jac mengakui agak terkilan dengan penyingkiran Chaq, namun amat berpuas hati dengan penyanyi muda itu.

"Memang saya terkilan dengan penyingkiran Chaq. Sampaikan isteri saya di rumah berkata, wajah saya benar-benar nampak kecewa dalam televisyen.

"Semoga saya dan Chaq dapat bekerjasama lagi pada masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu, peserta-peserta lain iaitu Stacy, Kristal, Shila Amzah, Hazama dan Ebi berada di bawah empayar Datuk M.Nasir manakala Atilia, Akim, Estranged, Hafiz dan Aril di bawah Ahmad Dhani.

Konsert Mania turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Maher Zain yang membawakan lagu daripada album terbarunya, Number One For Me.

Mania bersiaran secara langsung dari Dewan Seri Putra, Bukit Jalil pada pukul 9 malam menerusi saluran Astro Ria (104).

Artikel Lain