suria

'Jangan Tuduh Saya Anak Emas MIG' - Aeril Zafrel

Aeril Zafrel
Aeril Zafrel
Aeril Zafrel

PETALING JAYA: Pelakon muda Aeril Zafrel berkata tuduhan kononnya dia kini menjadi ‘anak emas’ syarikat produksi MIG berdasarkan tawaran lakonan yang diterimanya secara berterusan adalah tidak adil.

Pemilik nama sebenar Suharil Suhari, 24, ini berkata tuduhan itu adalah tidak berasas kerana beberapa projek filem yang dibintanginya sejak kebelakangan ini mengikut kesesuaian watak dan bukan kerana sikap pilih kasih pengurusan produksi terbabit.

“Kalau hendak diikutkan sebenarnya sudah tiga bulan sejak awal tahun ini lagi saya tidak terlibat dengan sebarang penggambaran filem kerana tiada watak yang bersesuaian.

“Apabila orang tuduh saya ‘anak emas’, itu adalah tidak adil tanpa orang mengetahui asas di sebalik dakwaan berkenaan. Saya akui terkejut dan anggap tuduhan (anak emas) itu sebagai ujian buat saya,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Pelakon yang sudah empat tahun menceburi dunia lakonan itu berkata, ketika dia bersusah-payah cuba meyakinkan penerbit dan pengarah sebelum ini, beberapa pelakon popular lain di bawah pengurusan syarikat itu juga pernah dituduh sedemikian.

“Selama ini pun, saya terpaksa bersusah-payah bertemu dan meyakinkan banyak pihak pada bakat saya. Sebelum ini, ada juga beberapa pelakon lain di bawah MIG yang dituduh sebagai ‘anak emas’.

“Kebetulan pula pada tahun ini, filem-filem yang saya bintangi pada tahun lalu menemui penonton, mungkin sebab itu ada yang tuduh saya menerima satu demi satu tawaran berlakon,” katanya dalam nada kesal.

Aeril menegaskan pemilihannya pada sesebuah karakter filem itu dilakukan mengikut kesesuaian watak dan kualiti lakonan. Ia tiada kaitan dengan sikap berat sebelah penerbit, mengampu atau kronisme.

“Peluang yang saya atau mana-mana pelakon lain terima dalam sesebuah filem atau drama mengikut kesesuaian dan rezeki masing-masing.

“Apabila diberikan kepercayaan, saya menggunakan peluang itu sebaik dan sejujur yang mungkin,” katanya

Menyelak mengenai kerjaya seni, filem lakonannya di samping Diana Amir dan Fizo Omar berjudul 7 Petala Cinta, kini ditayangkan di pawagam sejak 15 Mac lalu.

Dia juga bakal memulakan penggambaran filem 99 Kali Rindu tidak lama lagi.

Artikel Lain