Ana Dahlia Masih Belajar Masak Selepas Tiga Bulan Kahwin - Hiburan | mStar

Ana Dahlia Masih Belajar Masak Selepas Tiga Bulan Kahwin

Ana Dahlia dan suaminya, Chef Riz
Ana Dahlia dan suaminya, Chef Riz

PETALING JAYA: Pelakon Ana Dahlia memberitahu selepas tiga bulan berumah tangga, dia sudah mendalami ilmu masakan daripada suaminya iaitu Mohd Nadzri Redzuwan (Chef Riz) apabila diajar memasak makanan yang biasanya disajikan di hotel atau restoran mewah.

Ana Dahlia atau nama sebenarnya Diana Mastura Jaafar, 28, memberitahu, masakan itu ialah “brownies” coklat dan “creme brulee” yang tidak pernah diketahui untuk membuatnya sebelum ini.

“Kini saya sudah mempelajari beberapa menu makanan yang kebiasaannya dihidangkan di restoran atau hotel seperti “brownies” coklat dan “creme brulee” daripada Riz.

"Saya rasa bertuah kerana dapat ilmu memasak daripada chef profesional sepertinya,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Isnin.

Bekas pramugari AirAsia ini berkata, walaupun dia bersuamikan seorang chef, pada kebiasaannya dia akan tetap menyediakan hidangan makanan seperti isteri-isteri yang lain.

Katanya, masakan itu ialah lauk pauk yang biasa tetapi jika ingin menikmati makanan yang agak istimewa, barulah Riz akan menyediakannya.

Ana turut memberitahu, dia bahagia dengan kehidupannya sekarang walaupun masih belum dikurniakan rezeki untuk berbadan dua.

Dalam masa yang sama dia juga mendapat sokongan kuat daripada Riz untuk bergiat aktif sebagai seorang pelakon.

“Riz cuma pesan, selagi larat dan terdaya saya boleh ambil seberapa banyak tawaran berlakon. Walaupun begitu, waktu untuk kerjaya dan keluarga saya akan imbangi dengan sebaik mungkin.

“Biar sesibuk mana pun jadual kerja, saya pasti akan peruntukkan waktu yang berkualiti bersama suami,” katanya.

Terbaru, aksi lakonan Ana boleh ditonton menerusi drama Bukan Untukmu pada setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam di TV9 dan Metro Skuad pada setiap Jumaat pukul 9 malam di TV2.

Dia juga terlibat dengan penggambaran drama 3 Janji untuk TV3 dan filem Gila-Gila Remaja.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel