suria

Black Suka Tayang Badan Sejak Bertubuh Sasa

Black
Black
Black

KUALA LUMPUR: Penyanyi Black mengakui perubahan drastik pada fizikalnya yang semakin sasa telah banyak meninggalkan impak positif dalam hidupnya sejak setahun yang lalu.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah, 24, berkata dia berasa bahagia dan gembira dengan tubuh sasa yang dimilikinya itu kerana telah meningkatkan keyakinan dirinya berbanding sebelum ini.

“Saya sangat suka dengan tubuh saya kini. Usaha saya melakukan senaman sejak setahun yang lalu telah membuahkan hasil. Ia memberikan kebahagiaan buat saya.

“Jika sebelum ini, saya sering berasa rendah diri, kini saya semakin yakin khususnya ketika berdepan dengan peminat atau tempat umum,” katanya ketika ditemui mStar Online, baru-baru ini.

Black berkata, perubahan fizikal itu turut membuatkan dirinya menjadi perhatian ramai terutamanya ketika dia bersukan dan bermain bola sepak.

“Percaya atau tidak, ramai yang memberikan respons yang positif pada tubuh saya. Sejak bertubuh sasa, saya semakin yakin untuk menayangkan badan di khalayak umum selepas bersukan atau bermain bola sepak.

“Ada juga peminat perempuan dan lelaki yang mengusik tetapi saya tidak kisah kerana ia adalah perkara biasa,” katanya yang menolak dakwaan perubahan fizikal itu membuatkan dia bersikap bangga diri.

Dalam perkembangan lain, Black berkata kolaborasi bersama kumpulan Meet Uncle Hussain yang menubuhkan kumpulan Black Parallax untuk program Versus adalah bagi membuktikan dia boleh menyanyi bersama sebuah kumpulan.

“Selama ini, orang kenal saya sebagai penyanyi solo. Menerusi program Versus, saya mahu buktikan kepada peminat akan kemampuan saya beraksi dengan sebuah kumpulan.

“Ia juga untuk memberitahu bahawa saya masih aktif dalam bidang nyanyian,” katanya yang bakal berduet dengan seorang penyanyi lagenda dalam masa terdekat.

Selain kumpulan Black Parallax, Versus akan mementaskan empat lagi kumpulan muzik iaitu Hujan, Sofazr, Sixth Sense dan Go Gerila (gabungan Aizat Amdan dan Amir Jahari).

Ia akan disiarkan bermula 13 April depan selama lapan minggu, pada setiap Jumaat pukul 9.30 malam di TV9 dan stesen radio Hot FM.

Layari laman web rasmi www.tv9.com.my/vs untuk info lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain