suria

ALBUM BARU : Koleksi Cinta Buat Yang Tersayang

WALAUPUN bulan meraikan cinta sudah pun sampai ke penghujungnya, tidak salah rasanya bagi pasangan kekasih menghadiahkan lagu-lagu cinta menerusi album kompilasi yang dikeluarkan oleh Warner Music Malaysia iaitu The Best Of Love Songs, Love Stories dan Cinta Selama-Lamanya.

Penghasilan album kompilasi ini agak menarik kerana ia bukan sahaja memuatkan lagu-lagu lama sahaja, tetapi juga dicampurkan dengan lagu-lagu baru selepas melihat ia mendapat permintaan yang tinggi.

Maka, tidak hairanlah syarikat-syarikat rakaman pada hari ini banyak menghasilkan album sedemikian.

Menerusi album The Best Of Love Songs, ia terbahagi kepada enam keping cakera padat (CD) dengan menampilkan lebih daripada 20 penyanyi hebat yang antaranya seperti Whitney Houston (I Have Nothing), Toni Braxton (Un-Break My Heart), Boyz II Men (I'll Make Love To You), George Benson (Nothing's Gonna Change My Love For You), Karyn White (Super Women), Howard Jones (What is Love), Natalie Cole (Miss you Like Crazy) dan Bread (Everything I Own).

Selain itu, lagu-lagu daripada penyanyi-penyanyi hebat seperti Simply Red, The Orrs, Larry Graham, Richard Marx, LeAnn Rimes, Tina Turner, Duran Duran, Anita Baker, Paul Anka, Kool 7 The Gang serta Air Suply turut dimuatkan dalam album ini.

Dalam album Love Stories pula, ia terbahagi kepada enam keping CD dengan menampilkan sebanyak 90 buah lagu daripada penyanyi seperti Celine Dion, R Kelly, Muchael Buble, madonna, Jason Mraz, Rod Steward, Charice, Roxette, Christina Aguilera, Earth, Wind & Fire, Back Street Boys dan M2M.

Manakala album Cinta Selama-Lamanya (Vol 1 dan Vol 2) tampil dengan lagu-lagu hebat Sudirman, Gaya Zakry, Azizah Muhammad, Black Dog Bone, Kenny Remy & Martin, Ella, Man bai, Kartina Dahari, Fauziah Latiff, Rahimah Rahim dan Uji Rashid.

Antara lagu pilihan mStar Online dalam album ini ialah Dua Insan Bercinta nyanyian Ella, Nilai Cintamu (Sudirman), Antara Anyir Dan Jakarta (Sheila Majid), Surat Terakhir (Anita Sarawak), Cintaku Hanyut Di Lautan Sepi (Ramlah Ram) dan Cemburu (Datuk Khadijah Ibrahim).

Buat peminat yang membesar dengan penyanyi kesayangan masing-masing lagu-lagu lama yang dimuatkan masih lagi kekal mutu bunyinya.

Keempat-empat album ini merupakan koleksi cinta yang berbaloi untuk dibeli. Malah tidak semestinya ia hanya dihadiahkan kepada si kekasih, ia turut boleh diberi kepada teman rapat atau keluarga, sebagai tanda cinta dan sayang kepada mereka.

Artikel Lain