suria

Mikha Tambayong Terkejut Digilai Peminat Malaysia

Mikha Tambayong.
Mikha Tambayong.
Mikha Tambayong.

KUALA LUMPUR: Pelakon remaja Indonesia, Mikha Tambayong terkejut apabila dirinya menjadi kegilaan di kalangan peminat negara ini gara-gara populariti lakonannya dalam sinitron Nada Cinta.

Mikha,18, berkata dia hanya mengetahui dirinya popular apabila mendapati pengikut di laman sosial Twitter miliknya bertambah dan kebanyakannya daripada negara ini.

"Setiap hari akan ada pengikut baru dan mereka akan tweet memberitahu sukakan lakonan saya dalam Nada Cinta selain sering bertanya bila ingin bertandang ke sini," ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada sidang media teater muzikal Gerimis Mengundang di Istana Budaya di sini pada Selasa.

Tambahnya, dia juga tidak pernah mengetahui drama bersiri hampir 200 episod lakonannya itu telah ditayangkan di Malaysia kerana ia telah selesai dimainkan di negaranya.

Mikha memberitahu, peminat-peminatnya di sini yang memaklumkan mengenai perkara itu dan dia melahirkan perasaan cukup gembira dengan penerimaan masyarakat di negara ini.

"Saya cukup bertuah dapat dikenali di negara ini kerana masih banyak bintang-bintang di Indonesia yang ingin mencipta nama di sini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mikha berkata, dia rasa begitu teruja apabila bakal beraksi dalam pementasan teater Gerimis Mengundang di samping pelakon Kamal Adli dan berjanji akan memberikan persembahan terbaik buat peminatnya.

Mikha bagaimanapun memberitahu berasa gementar kerana ini adalah pertama kali dia beraksi di pentas teater.

"Perasaan gementar itu mesti ada tetapi lebih mendebarkan apabila ini adalah kali pertama beraksi di pentas teater di negara orang.

"Bagaimanapun saya yakin dapat melakukannya dengan tunjuk ajar daripada pengarah dan pelakon lain yang terlibat," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Mikha berkata mereka bakal menjalani latihan untuk teater muzikal itu pada Sabtu depan dan sepanjang tempoh itu dia akan menetap di negara ini.

Katanya, selain bekerja, ini adalah peluang untuk dia mengenali lebih ramai penggiat seni Malaysia selain bertemu dengan peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya.

Gerimis Mengundang bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya bermula 27 Mac sehingga 8 April depan arahan Ahmad Idham.

Tiket berharga dari RM35 hingga RM305 boleh didapati dengan membuat tempahan di www.ticket2u.biz atau di kaunter tiket Box Office Istana Budaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain