suria

Rashid Sibir Pendam Hasrat Terbitkan Filem 'Tanah Kubur'

Pengarah, Rashid Sibir
Pengarah, Rashid Sibir
Pengarah, Rashid Sibir

KUALA LUMPUR: Pengarah drama Rashid Sibir berkata dia merancang untuk menerbitkan sebuah filem yang diadaptasi daripada drama Tanah Kubur di Astro Oasis (saluran 106) jika keadaan mengizinkan kelak.

Menurut Rashid, sambutan yang memberangsangkan daripada penonton drama keagamaan itu menyuntik keyakinannya untuk menterjemahkan drama tersebut ke layar perak.

“Angan-angan untuk memfilemkan drama Tanah Kubur memang ada tetapi beberapa perkara perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

“Sekiranya ia mendapat ‘lampu hijau’ daripada Astro sebagai stesen penyiar drama itu, ada dana yang mencukupi dan plot yang bersesuaian, mengapa tidak saya terbitkan versi filem pula.

“Drama itu mendapat respons yang baik daripada penonton sehingga mencecah rating 4.5 juta pada dua musim pertamanya. Ini menunjukkan ia ada pengikut tersendiri,” katanya.

Rashid berkata jika dia ingin merealisasikan perancangan itu, plot yang bersesuaian dan memberikan impak harus dipilih agar ia menjadi sebuah filem yang berkualiti.

“Ada beberapa kisah dan plot yang telah saya senaraikan. Untuk diangkat ke layar perak, plot dan mesej yang hendak disampaikan harus memberikan impak dan berskala besar.

‘Jika perancangan ini menjadi kenyataan, saya harus berbincang secara terperinci dengan beberapa pihak termasuk Astro bagi memilih plot terbaik untuk filem itu nanti,” katanya.

Rashid berkata memandangkan drama yang sarat dengan mesej itu diterima baik oleh masyarakat, dia bertanggungjawab untuk menghasilkan filem yang memaparkan keutuhan prinsip dan perjuangan Islam di mata umum.

“Drama ini berteraskan dakwah dan perjuangan Islam. Versi filem itu harus diterbitkan dengan perspektif dan penyampaian yang tepat,” katanya yang bersedia menerbitkan filem itu secara bersendirian atau usahasama dengan stesen penyiara berkenaan.

Kali terakhir Rashid menghasilkan filem adalah pada 2004 menerusi Cinta Luar Biasa.

Filem terbarunya, Awan Dania The Movie yang menampilkan aktres Scha Al Yahya dijangka menjengah pawagam pada September depan.

Artikel Lain