suria

Rashid Sibir Puas Hati Drama ‘Tanah Kubur’ Dilanjutkan

Rashid Sibir
Rashid Sibir
Rashid Sibir

KUALA LUMPUR: Pengarah drama bersiri popular Tanah Kubur (TK), Rashid Sibir berasa bangga kerana drama bertemakan keagamaan itu berpeluang untuk dilanjutkan ke musim ketiga ekoran sambutan baik daripada penonton.

Musim terbaru drama sebanyak 13 episod ini akan menemui penonton pada setiap Jumaat bermula 24 Februari depan.

Ia akan disiarkan pada pukul 7.30 malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106).

Rashid berkata respons yang diterima berdasarkan rating tontonan yang mencecah 4.5 juta pada dua musim sebelum ini menunjukkan rancangan itu semakin diminati ramai kerana jalan cerita dan mesej yang diketengahkan.

“Saya sendiri tidak sangka respons penonton akan terus meningkat terhadap drama bersiri ini selepas dua musim ia ditayangkan.

“Pencapaian ini adalah sesuatu yang membanggakan. Saya bersyukur kerana drama ini diterima baik oleh masyarakat,” katanya yang ditemui pada sidang media drama itu di sini, Khamis.

Rashid berkata sambutan yang memberangsangkan itu memberikan kepuasan walaupun dia pernah berhadapan dengan cabaran dan kesulitan ketika ia mahu diterbitkan pada awalnya.

“Daripada awal lagi ketika idea dan konsep drama ini mahu diterbitkan, kami berdepan penolakan dan prejudis stesen-stesen televisyen yang tidak yakin pada kandungan cerita bertemakan dakwah dan agama.

“Alhamdulillah ia disambut baik oleh Astro Oasis dan berjaya menarik minat penonton sehingga membolehkan ia disambung ke musim ketiga,” katanya.

Ketika ditanya apakah kekuatan dan tarikan drama itu, Rashid berkata secara fitrahnya topik atau tema yang berkaitan ambang maut dan pengajaran digemari oleh masyarakat Melayu.

Justeru itu, Rashid berkata dia memanfaatkan sambutan yang baik itu dengan menerapkan elemen dakwah dan Islam dalam bentuk drama dan hiburan.

“Niat dan tujuan drama ini hanya untuk memberikan contoh dan pengajaran menerusi kisah-kisah yang dipaparkan dalam setiap episod. Setiap perbuatan kita sama ada yang baik atau buruk pasti ada balasannya.

“Saya berharap jangan ada pihak yang salah anggap mendakwa saya mahu tunjuk pandai untuk mengajar penonton mengenai dakwah pula,” katanya.

Musim terbaru drama ini masih mengekalkan pelakon utama Nasir Bilal Khan sebagai penggali kubur bernama Tok Adi.

Selain itu, pada musim ketiga ini ia turut menampilkan pelakon-pelakon seperti Talha Harith, Hamidah Wahab, Johan As’ari, Liza Abdullah, Jalaluddin Hassan, Jimmy Shanley dan Syafiq Kyle.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain