suria

Arja Lee Akui Guna Kabel Naikkan Nama

Arja Lee.
Arja Lee.
Arja Lee.

KUALA LUMPUR: Pelakon Arja Lee, 28, mengakui menggunakan 'kabel' bagi membantu menaikkan nama sebagai seorang pelakon.

Arja bagaimanapun berkata, walaupun mempunyai sokongan daripada beberapa pihak yang dianggap sebagai tulang belakang dalam kerjayanya, dia tidak mendapat jalan mudah untuk mencipta nama.

"Walaupun ada 'kabel' membantu tetapi tidak bermakna saya tidak berusaha untuk mengecap kejayaan.

"Saya masih pergi uji bakat untuk mendapatkan sesuatu peranan," ujarnya ketika ditemui pada majlis ditemui selepas majlis pengumuman lima calon terbaik Festival Filem Malaysia 24 di sini, Selasa.

Dia berkata, sebagai pelakon baru, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki bagi memastikan namanya akan terus kukuh untuk masa panjang.

"Saya mahu menjadi seorang pelakon berkaliber dan tidak hanya mahu dikenali kerana cerita-cerita kontroversi sahaja," ujarnya.

Dalam pada itu, Arja memberitahu dia tidak akan berlakon dalam filem atau drama yang menkehendaki dirinya menjadi seorang wanita atau seorang lelaki homoseksual.

Ujarnya, cukup sekali dia membawa peranan sebegitu dalam filem ...Dalam Botol arahan Raja Azmi yang mengundang pelbagai kontroversi.

"Saya tidak mahu menerima watak sedemikian bukan kerana takut ia akan menjadi kontroversi tetapi tidak mahu dilabel pelakon stereotype," katanya.

Sementara itu, Arja memberitahu dia gembira apabila menerima pencalonan dalam FFM24 dalam kategori Pelakon Harapan Lelaki Terbaik.

"Tidak sangka akan menerima pencalonan itu memandangkan itu adalah filem pertama lakonan saya dan sesungguhnya penghargaan perlu diberikan kepada penerbit filem itu, Raja Azmi kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada bakat saya sehingga mendapat pencalonan ini.

"Jika tidak menang pun saya tidak kecewa kerana pencalonan ini adalah sudah dikira kemenangan kepada saya," ujarnya.

Berkongsi perkembangan semasa, Arja berkata dia kini sedang sibuk menumpukan perhatian pada pengajiannya dalam jurusan seni persembahan di Universiti Sains Malaysia.

Justeru itu, katanya dia tidak dapat bergiat aktif dalam memenuhi tawaran lakonan sehinggalah pengajiannya tamat pada Jun tahun depan.

“Semester baru pengajian saya baru bermula. Saya perlu menumpukan perhatian kerana ini adalah semester terakhir.

“Insya-Allah saya akan kembali aktif sepenuh masa selepas pengajian berakhir pada Jun tahun depan,” katanya.

Arja Lee mula dikenali umum selepas menjayakan watak transeksual bernama Ruby dan berbogel dalam filem kontroversi ...Dalam Botol terbitan JAS Production Sdn Bhd, milik penerbit sensasi Raja Azmi Raja Sulaiman.

Filem yang ditayangkan pada 24 Mac lalu itu turut dibintangi Wan Raja, Diana Danielle, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dan Jalil Hamid. Ia diarahkan oleh Khir Rahman.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain