suria

Langkah Kanan Jojo Goh Sertai Dunia Filem Melayu

Jojo Goh
Jojo Goh
Jojo Goh

NAMA Jojo Goh, 28, mungkin masih baru dalam industri hiburan tempatan, namun gadis ini sebenarnya begitu sinonim dan popular menerusi drama dan telefilem berbahasa Cina.

Bagaimanapun, ujibakat pencarian pelakon filem 29 Februari yang dijalaninya pada awal Januari lalu oleh pihak KRU Studios telah membuka mata pengarahnya, Edry Abdul Halim, memilih Jojo untuk menggalas watak utama sebagai Lily.

Kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu, peluang berlakon dalam filem Melayu ibarat seperti langkah kanan mengembangkan lagi kerjaya lakonan dan pada masa sama dapat memperkenalkan diri kepada peminat-peminat filem Melayu pula.

“Siapa yang akan menolak apabila peluang besar berada di depan mata? Tambah pula, dapat digandingkan dengan ‘hero Malaya’, Remy Ishak, yang membawa watak sebagai Budi, tak mungkin saya akan abaikan tawaran itu.

“Memandangkan saya tidak mengenali Remy sebelum menerima 29 Februari, saya mencari maklumat tentangnya di internet sebagai persediaan.

“Mujurlah semasa ujibakat kali kedua dijalankan bersama Remy, kami mempunyai keserasian. Malah Remy seorang pelakon yang cukup profesional,” katanya.

Tambah Jojo, dia agak kekok melakonkan babak-babak cinta dengan Remy pada awal penggambaran berlangsung, namun rasa tidak selesa mula hilang selepas mereka cuba mengenali antara satu sama lain.

Filem 29 Februari yang sudah pun tamat penggambarannya pada 25 Oktober lalu mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Budi yang lahir pada 29 Februari 1986 dimana kehidupannya melalui peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Malaysia.

Dalam pada itu, Budi telah jatuh cinta dengan seorang gadis berketurunan Cina bernama Lily, namun cinta mereka dihalang keluarga gadis itu kerana berbeza latar belakang agama dan budaya.

Walaupun fasih berbahasa Malaysia, penggunaan bahasa dalam filem kedua Edry itu agak mencabar buatnya.

“Saya perlu bertutur dalam bahasa Malaysia sebanyak 90 peratus. Walaupun penggunaan bahasa Malaysia bukanlah satu masalah besar, tetapi Edry meminta saya membuat latihan supaya pertuturan dalam watak lebih lancar dari segi sebutannya.

“Jadi, saya mengambil langkah berbual dengan orang di sekeliling termasuklah kru penggambaran menggunakan bahasa Malaysia,” ujarnya yang bersedia untuk menerima tawaran berlakon dalam drama dan filem Melayu.

* Artikel ini dipetik daripada akhbar Mingguan mStar yang diterbitkan bersama Sunday Star sekitar Lembah Klang.

Artikel Sebelum

Rozita Che Wan Buka Butik Tudung

Artikel Berikut

Artikel Lain